Channel NewsAsia lancar inisiatif baharu

Channel NewsAsia lancar inisiatif baharu

SINGAPURA, 3 Nov (Bernama) – Penyiar serantau Channel NewsAsia mengumumkan inisiatif baharu di bawah projek Tanggungjawab Sosial Korporat, ‘Changing Lives’ di Jakarta hari ini.

Projek berkenaan, ‘Business and Philanthropy in Asia’, menekankan keperluan perniagaan memainkan peranan utama dalam menggerakkan perubahan sosial dan kemajuan di Asia, dan bagaimana sikap dermawan boleh memberi kesan kepada rantau ini secara positif, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ia berkata Channel NewsAsia, dengan kerjasama Yayasan Tahir di Indonesia, menjadi tuan rumah majlis makan malam dan forum di Jakarta pada Selasa di mana para pemimpin industri serantau berbincang bagaimana perniagaan di seluruh Asia boleh menetapkan nilai-nilai dan mengambil langkah dermawan, bekerjasama dengan kerajaan.

Ketua Segmen Utama dan Berita MediaCorp Debra Soon berkata sebagai penyiar serantau, syarikat berharap untuk memudahkan perubahan dan pemahaman mengenai isu berkenaan.

“Asia telah maju dari segi ekonomi dalam pelbagai cara yang tidak pernah dibayangkan, dan tiba masa bagi kita di rantau ini menetapkan beberapa prinsip panduan untuk melaksanakan kedermawanan strategik yang berakar umbi dalam nilai,” katanya.

Panel yang terdiri daripada pemimpin perniagaan terkemuka di Asia, membincangkan peranan Indonesia, ekonomi terbesar ASEAN, dalam memacu perubahan di rantau Asia Tenggara.

Berikutan integrasi ekonomi bakal berlaku tahun ini dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN, akan terdapat peluang untuk menyelaraskan perniagaan dengan kedermawanan korporat, dengan kesan di rantau ini.