Charcoal BBQ & Grill bakal berwajah baru

Charcoal BBQ & Grill bakal berwajah baru

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Cawangan Restoran Charcoal BBQ & Grill, sebuah restoran tempatan yang mempunyai standard antarabangsa, di Batu Satu, kini sedang diperbaharui dari segi penampilannya dan juga menu, dan dijangka siap pada pertengahan bulan ini.

Kerja pembaharuan yang bermula sejak pada hari pertama bermulanya puasa itu, dijangka memberikan pengalaman yang baru kepada para pelanggan terutama dari segi suasana dengan tema gaya desa (rustic).

“Kami mahu para pelanggan yang mengunjungi restoran kami nanti menikmati suasana serta pemandangan yang cantik, muzik yang bagus, dan juga bau yang menarik,” jelas Ketua Operasi restoran berkenaan, Sinar Abdul.

“Konsep yang kami gunakan adalah lebih kepada kekeluargaan dan juga rakan-rakan dalam sekumpulan besar. Ini kerana di Brunei, perhimpunan keluarga selalu diadakan bukan sahaja di rumah tetapi juga di restoran-restoran. Begitu juga perkumpulan rakan-rakan.”

Menurut Ketua Cef restoran berkenaan, Liska Tumbeleka, menu-menu yang ada juga akan diperbaharui namun masih menggunakan konsep barbeku dan panggang (BBQ & grill).

Dua tonggak utama Restoran Charcoal, Sinar Abdul dan Liska Tumbeleka ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.
Dua tonggak utama Restoran Charcoal, Sinar Abdul dan Liska Tumbeleka ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun masakan mereka adalah masakan barat, tetapi bagi menepati cita rasa orang tempatan mereka merubah sedikit lebih kepada sesuatu yang manis dan masam dalam masakan mereka selain menampilkan menu baru sesuai bagi jamuan keluarga atau bagi sekumpulan rakan-rakan.

Selain cawangan Charcoal di Batu Satu, cawangannya di Kuala Belait juga diperbaharui konsepnya, namun lebih kepada aspek hiburan di mana mereka akan menggunakan kawasan tepi pantai bagi pemasangan tempat barbeku. Namun belum ada masa yang ditetapkan bila cawangan Charcoal di Kuala Belait itu siap dan mula dibuka.

ARTIKEL YANG SAMA