Charity Play bantu 21 buah keluarga

Charity Play bantu 21 buah keluarga

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Dalam usaha meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan di negara ini menjelang Aidilfitri, Persatuan Charity Play yang terdiri daripada mahasiswa dan graduan Universiti Brunei Darussalam serta belia, menghulurkan sumbangan kepada 21 buah keluarga di sekitar Daerah Brunei dan Muara baru-baru ini.

Sebanyak 4,000 lebih pakaian, sejumlah besar barang-barang keperluan dapur merangkumi lebih 60 guni beras, 50 botol minyak makan, makanan dalam tin, dan barang-barang keperluan yang lainnya telah dikumpulkan hasil daripada derma dan sumbangan orang ramai pada tahun ini.

Barang-barang ini dikumpulkan selama tiga minggu dan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan pada 28 Jun lalu.

Sumbangan ini merupakan aktiviti berkebajikan tahun kedua yang diungkayahkan persatuan itu selepas ia ditubuhkan tahun lalu, dalam usahanya meningkatkan kesedaran dan kepentingan tentang konsep berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang berkemampuan, selain memupuk sifat pemedulian dalam kalangan masyarakat.

Ahli Charity Play ketika menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Daerah Brunei dan Muara.
Ahli Charity Play ketika menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Daerah Brunei dan Muara.

Aktiviti ini juga bertujuan melatih belia untuk sama-sama peka dan bersikap tidak camah mata, membangunkan rohani dan spiritual mereka serta menanamkan nilai-nilai murni bagi mencorakkan individu berwawasan.

Persatuan itu juga mengalu-alukan belia lain untuk menjadi sebahagian daripada ahli persatuan dan bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA