Charlton, Mourinho berdamai

Charlton, Mourinho berdamai

LONDON, 31 Mei – Jose Mourinho menggunakan pendekatan ‘berdamai’ dengan Bobby Charlton ketika pengurus baharu Manchester United itu bertemu ikon di Old Trafford di padang latihan kelab, Carrington, semalam.

Charlton sebelum ini menghambur kritikan pedas ke atas Mourinho dan difahamkan pernah membantah prospek pelantikan itu ketika United sedang mencari pengganti Alex Ferguson pada tahun 2013.

Charlton, 78, yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah United turut pernah mengkritik Mourinho pada tahun 2012 kerana ‘mencucuk’ mata penolong jurulatih Barcelona Tito Vilanova dan pada itu dia berkata: “Seorang pengurus United tidak akan melakukan perkara sebegitu.

“Mourinho seorang jurulatih yang sangat bagus tetapi apa yang dilakukannya itu sudah keterlaluan. Dia cakap terlalu banyak seolah-olah tahu semua perkara. Apapun, dia seorang pengurus yang bagus.”

Walaupun dikritik Charlton, United pada akhirnya tetap mengikat Mourinho minggu lalu, melantik bekas pengurus Chelsea itu selepas kelab gagal di bawah rejim David Moyes dan Louis van Gaal.

pg22_160601_b

Ketika Mourinho dibawa melawat kem latihan United, situasi dijangka bertukar janggal apabila dia bertemu Charlton, namun pengendali berusia 53 tahun itu tetap mahu mencari jalan damai.

Mourinho berkongsi detik itu dengan merujuk kepada jaringan legenda United berkenaan ketika kemenangan separuh akhir England ke atas Portugal pada Piala Dunia 1966 dengan berseloroh berkata: “Kamu memusnahkan harapan negara saya pada 1966 tetapi apapun, harap yang terbaik.”

Charlton membalas semula dengan berkata: “Saya sangat gembira dapat melihat kamu di sini,” sebelum Mourinho menyampuk dan meminta legenda itu hanya mula berkata-kata selepas dia memenangi perlawanan. – AFP