CHEC lantik Regalblue hasilkan dokumentari

CHEC lantik Regalblue hasilkan dokumentari

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Syarikat kontraktor antarabangsa terkemuka, China Harbour Engineering Company (CHEC) yang dilantik untuk mereka dan membina Jambatan Pulau Muara Besar (PMB), telah melantik syarikat produksi terkenal di Brunei, Regalblue Production Sdn Bhd untuk menghasilkan dokumentari dan video kemajuan pembinaan jambatan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, majlis penandatanganan kontrak bagi penghasilan dokumentari berkenaan telah berlangsung di pejabat CHEC di Serasa, pagi tadi.

Menandatangani perjanjian bagi pihak CHEC ialah Pengarah Projek CHEC bagi Pasukan Pengurusan Projek Jambatan PMB (Brunei), Yao Di, manakala itu, Regalblue Production diwakili oleh penerbitnya, Dayang Nurain Abdullah.

Penandatanganan perjanjian tersebut disaksikan oleh Pengurus Pentadbiran CHEC, Wu Wei dan Pengarah Regalblue Production, Harlif Haji Mohammad.

Tempoh produksi bermula Disember 2015 sehingga penyempurnaan jambatan pada April 2018 dan dokumentari selama 30 minit itu akan siap menjelang Mei 2018.

Wakil CHEC bergambar ramai bersama pihak Regalblue Production.
Wakil CHEC bergambar ramai bersama pihak Regalblue Production.
Majlis penandatanganan bagi kedua-dua belah pihak.
Majlis penandatanganan bagi kedua-dua belah pihak.

Dokumentari tersebut akan merangkumi mengenai proses pembinaan Jambatan PMB, kenapa dan mengapa jambatan itu penting bagi pembangunan infrastruktur di Brunei.

Jambatan sepanjang 2.68km itu akan menghubungkan tanah besar dari Kampung Serasa ke pantai barat PMB dan projek itu turut termasuk jalan utama sepanjang 2.925km di pulau tersebut.

Jalan penghubung sepanjang Jalan Perusahaan dan kerja-kerja utiliti juga akan dilaksanakan oleh CHEC.

Sementara itu, Regalblue Production mempunyai pengalaman lebih 13 tahun dengan pasukan profesional tempatan.

Dayang Nurain berkata, mereka akan menggunakan peluang ini untuk meletakkan tanda aras bagi produksi audio visual tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA