Chelsea atau Barcelona?

BARCELONA, 13 Mac – Pengurus dari Itali, Antonio Conte menyatakan beliau akan berunding dengan pemainnya menjelang pertembungan Liga Juara-Juara Chelsea menentang Barcelona awal pagi Khamis ini dan selepas perlawanan itu beliau mungkin bertemu Ernesto Valverde.

Kedua-dua jurulatih itu menghadapi saat getir musim ini namun hanya Valverde berdepan aksi kedua, pusingan 16 terakhir di Nou Camp dengan kempen domestiknya masih berjalan lancar.

Masing-masing memulakan kempen pada hujung musim panas yang goyah, yang mana pemain utama dijual, pemain kurang dikehendaki dibeli dan secara keseluruhan skuad lebih lemah berbanding diperkuatkan.

Ditanya September lalu mengenai urusan perpindahan kelab, Conte berkata: “Soalan ini amat sukar dijawab. Saya fikir kami perlu menunggu hingga hujung musim dan tunggu serta lihat apa yang berlaku.”

Malah Valverde lebih tidak berdiplomasi. “Perkara terbaik mengenai jendela ini ia sudah ditutup,” katanya.

Antonio Conte memberi arahan kepada anak buahnya semasa pertemuan antara Chelsea dan Crystal Palace di Stamford Bridge tempoh hari. – AP

Masing-masing secara tidak dijangka menemui jurang besar di bahagian serangan ketika Neymar diikat Paris Saint-Germain manakala Conte hanya terlalu gembira membenarkan Diego Costa meninggalkan pasukan, namun kemudian menyaksikan Manchester United menyambar Romelu Lukaku, yang sepatutnya menggantikan Costa.

Barcelona membeli Ousmane Dembele, pemain paling mahal kelab itu, yang terhincut-hincut selepas 55 minit pada penampilan sulungnya bersama kelab itu dan tidak kembali hingga Januari lalu.

Chelsea pula hanya berjaya mendapatkan khidmat Alvaro Morata, yang kurang keyakinan dan keberanian, manakala Januari lalu mereka mengikat Olivier Giroud, yang gagal menempatkan diri dalam pasukan Arsenal.

Ada ramai pemain yang mereka terlepas. Buat Chelsea, Lukaku, Alex Sandro, Alex Oxlade-Chamberlain dan Fernando Llorente. Bagi Barcelona, Marco Verratti, Hector Bellerin dan Jean Michael Seri.

Pemain yang mampu dibawa masuk hanyalah Ross Barkley, Tiemoue Bakayoko dan Antonio Rudiger buat Chelsea. Manakala Barcelona, Paulinho dan Gerard Deulofeu, secara perjanjian beli semula.

Namun lapan bulan berlalu dan hujung musim semakin menghampiri, seorang jurulatih membenarkan kekecewaan bernanah manakala seorang lagi sedia melupakannya.

Barcelona unggul lapan mata di depan di puncak La Liga dan tidak kalah selepas 28 perlawanan. Chelsea di tangga kelima, empat mata di belakang tempat kelayakan ke Liga Juara-Juara dan mungkin perlu memenangi pertandingan itu untuk kembali beraksi musim depan.

Blues mungkin akhirnya mengalahkan Barca apabila mereka tidak bernasib baik seri 1-1 pada aksi pertama atau menyelinap masuk ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Namun mereka ketinggalan 25 mata di belakang Manchester City dan kegagalan mereka mempertahankan kejuaraan bermakna Conte perlu melangkah pergi Mei depan. – AFP