Chelsea benam Milan

Chelsea benam Milan

LOS ANGELES, 4 Ogos – Oscar menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua ketika Chelsea menewaskan AC Milan 3-1 dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa dalam jelajah pra musim mereka ke Amerika Syarikat (AS).

Pemain dari Brazil itu menjaringkan gol pada minit ke70 dan 87 semalam bagi pasukan Chelsea, yang kembali bangkit daripada kekalahan 3-2 kepada Real Madrid dalam pertemuan perlawanan persahabatan mereka Sabtu lalu.

Oscar terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan kepada pemain dari Milan dan menyudahkan ledakan ke gawang.

Pemain antarabangsa Perancis, N’Golo Kante membuat kemunculannya bagi Chelsea selepas perpindahan bernilai 32 juta pound (AS$42.5 juta) dari juara Liga Perdana Inggeris, Leicester, yang diturunkan sebagai pemain gantian separuh masa kedua.

Bertrand Trarore membuka jaringan bagi Chelsea pada separuh masa pertama apabila membuat tandukan dari jarak depan didepan penonton seramai 64,000 di Stadium US Bank di Minneapolis, Minnesota.

Pemain Chelsea, Ola Aina (kiri) bersaing untuk menguasai bola dengan M’baye Niang dari AC Milan semasa perlawanan pertunjukan di Minneapolis, kelmarin. – AP
Pemain Chelsea, Ola Aina (kiri) bersaing untuk menguasai bola dengan M’baye Niang dari AC Milan semasa perlawanan pertunjukan di Minneapolis, kelmarin. – AP

Ia adalah acara sukan pertama yang diadakan di kemudahan yang memuatkan 73,000 tempat duduk itu, yang menjadi gelanggang National Football League Minnesota Vikings.

Giancomo Bonaventura menjaringkan satu-satunya gol bagi Milan dengan menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-38.

Dalam satu lagi persaingan Piala Juara-Juara Antarabangsa, gergasi Sepanyol, Real Madrid menewaskan juara Jerman, Bayern Munich 1-0.

Jurulatih baru Bayern, Carlo Ancelotti tidak dapat menjaringkan gol ke atas pasukan lamanya, Real Madrid, ketika pemain gantian Danilo menjaringkan gol pada minit ke-79 dengan rembatan individu.

Danilo meluru ke bahagian tepi kemudian ke kiri dan menjejaskan pertahanan Bayern sebelum meledakkan rembatan kaki kiri yang melepasi tangan penjaga gol Sven Ulreich.

Walaupun Bayern Munich mengawal permainan pada separuh masa pertama, mereka tidak dapat untuk menguasai peluang-peluang menjaringkan gol. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA