Chelsea benam Newcastle 5-1

Chelsea benam Newcastle 5-1

LONDON, 14 Feb – Chelsea menamatkan penantian kemenangan pertama di laman sendiri di bawah kendalian Guus Hiddink apabila membelasah pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Newcastle United 5-1, pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Hiddink mencatat empat keputusan seri di Stamford Bridge sejak pengendali sementara dari Belanda itu menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu.

Diego Costa tidak menunggu lama dengan jaringan pembukaan awal sebelum Pedro meledak dua gol dan satu jaringan masing-masing oleh Willian dan Bertrand Traore memastikan kemenangan terbesar Chelsea pada kempen musim ini.

Satu-satunya yang tidak menyebelahi buat skuad dengan jolokan The Blues itu adalah kapten John Terry mengutip kecederaan selepas 37 minit permainan, gara-gara insiden pelanggaran dengan penyerang Newcastle Aleksandar Mitrovic di awal permainan.

“Walaupun kami tidak pernah tewas sejak Disember tetapi prestasi kami tidak begitu membanggakan kerana mencatat banyak keputusan seri.

Pedro ketika menjaringkan gol keempat buat Chelsea. – Reuters
Pedro ketika menjaringkan gol keempat buat Chelsea. – Reuters

“Jadi kami inginkan status tanpa tewas itu dengan cara kemenangan, sekali gus ia menjadi sebab mengapa keputusan ini sangat bagus,” kata Hiddink yang menyaksikan pasukannya kini menghuni tangga ke-12 liga.

“Kami cuba mengejutkan mereka pada awal permainan di mana kami berjaya mendahului dengan dua jaringan awal dan 20 minit babak pertama itu jelas menjadi milik kami,” katanya.

Costa, yang beraksi sambil memakai topeng selepas hidungnya patah pada latihan, kelihatan kembali pada prestasi terbaik seperti musim lalu manakala Pedro, yang agak mengecewakan sejak tiba dari Barcelona awal musim ini tampak menikmati perlawanan terbaiknya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA