Chelsea ‘berpisah’ dengan Adidas

Chelsea ‘berpisah’ dengan Adidas

LONDON, 12 Mei (AFP) – Chelsea menamatkan perjanjian penajaan bersama Adidas enam tahun lebih awal dalam usaha mencari kontrak baharu bersama pencabar pengeluar barangan sukan lain, umum syarikat gergasi barangan sukan Jerman itu, hari ini.

Perjanjian itu, yang dilaporkan bernilai 300 juta euro untuk tempoh 10 tahun menyaksikan perjanjian bersama Adidas yang sepatutnya berakhir sehingga 30 Jun 2023 terpaksa ditamatkan, tahun depan.

Adidas menjadi penaja pakaian Chelsea sejak 2006 dengan kelab itu dikatakan sudah bersetuju membayar Adidas pampasan.

“Kelab bola sepak Chelsea dan Adidas mengumumkan hari ini yang mereka sudah mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama ketika ini denagn lebih awal,” kata Adidas dalam satu kenyataan.

“Persetujuan bersama mengenai penamatan awal perjanjian ini membenarkan Chelsea untuk memasuki perjanjian barangan baharu dengan pencabar kepada Adidas.

“Sebagai pampasan untuk penamatan kontrak, Kumpulan Adidas akan menerima bayaran daripada Chelsea pada 2017 yang akan memberi impak positif kepada keuntungan bersih kumpulan pada tahun ini.

“Adidas mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Chelsea kerana sentiasa profesional dan kerjasama yang berjaya, termasuk juga kejayaa-kejayaan lain, ketika mereka memenangi Liga Juara-Juara pada 2012 dan juga dua gelaran Liga Perdana Inggeris.”

Kontrak 10 tahun Chelsea bersama Adidas yang ditandatangani pada Jun 2013 adalah perjanjian terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris ketika itu.

Ia kemudian diatasi oleh perjanjian yang dilaporkan bernilai 50 juta pound oleh Manchester United bersama Adidas yang turut menjadi rakan penaja Southampton, Sunderland, Swansea City dan West Bromwich Albion.

Identiti syarikat mana yang akan menaja Chelsea musim depan tidak didedahkan.

ARTIKEL YANG SAMA