Chelsea boleh akhiri liga di empat teratas

Chelsea boleh akhiri liga di empat teratas

LONDON, 28 Dis – Juara bertahan Chelsea masih boleh mengakhiri dalam empat teratas musim ini dan layak ke Liga Juara-juara, menurut pemain sayap Willian.

Pengurus sementara Guus Hiddink minggu lepas berkata mengakhiri empat teratas “secara matematik adalah boleh” namun Chelsea jatuh lebih banyak mata pada Sabtu, seri 2-2 dengan Watford iaitu 13 mata di belakang tempat keempat Tottenham Hotspur.

“Situasi ini sukar buat kami,” Willian memberitahu media British. “Namun saya rasa kami boleh pergi dan menang setiap perlawanan dan mengakhiri liga dalam empat teratas.”

Juara liga empat kali itu kini di tangga ke-15, kalah sembilan daripada 18 perlawanan liga perdana mereka musim ini, yang mengakibatkan pengurus Jose Mourinho kehilangan kerjanya bulan ini.

“Saya berasa kami layak untuk menang (terhadap Watford). Kami bermain secara baik pada separuh masa kedua. Sudah tentu kami berada dalam situasi yang sukan dalam waktu itu apabila Watford menjaringkan gol kedua tapi kami tetap teruskan,” tambah Willian.

Willian dalam aksinya ketika Chelsea menentang Watford baru-baru ini. – Reuters
Willian dalam aksinya ketika Chelsea menentang Watford baru-baru ini. – Reuters

Chelsea akan berdepan Manchester United dalam saingan liga hari ini dan bermain tanpa penyerang Diego Costa, selepas dilayangkan kad kuning kelima pada Sabtu lepas.

Mereka juga bermain tanpa Radamel Falcao, yang mengalami kecederaan, meninggalkan Hiddink dengan hanya Loic Remy untuk menerajui serangan terhadap United.

The Blues, yang belum pernah menang dalam enam perlawanan terakhir mereka di luar Stamford Bridge, berkemungkinan bermain tanpa pemain tengah Cesc Fabregas, yang menurut satu laporan media, tidak membuat perjalanan bersama skuad Chelsea ke Manchester. – Reuters