Chelsea buang saki baki Mourinho

Chelsea buang saki baki Mourinho

LONDON, 12 Jan (Agensi) – Chelsea sudah ‘menyingkirkan’ segala saki baki dan tinggalan bekas pengendali, Jose Mourinho di stadium keramat mereka, Stamford Bridge.

Satu-satunya gambar Mourinho yang masih tinggal di stadium berkenaan ialah fotonya bersama pasukan Chelsea yang diletakkan di permukaan dinding berhampiran pintu pagar Brittania di Jalan Fulham.

Namun, foto bersaiz besar itu akhirnya ditanggalkan oleh Chelsea, hujung minggu lalu. Gambar terbabit yang turut memaparkan Mourinho bersama kapten pasukan, John Terry dan juga Branislav Ivanovic bersama dua trofi kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu sudah ditanggalkan sebelum aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Scunthorpe, kelmarin.

Foto yang menggantikan gambar terbabit ialah gambar penaja mereka iaitu Adidas dan juga Delta dengan beberapa slogan seperti #bethedifference dan ‘kibarkan bendera biru’. Mourinho dipecat sebagai pengurus Chelsea pada 17 Disember lalu selepas prestasi merudum pasukan kendaliannya itu yang mencatat sembilan kekalahan dalam 16 perlawanan selain berdepan masalah dengan pemain sehingga memaksa Roman Abramovich memecat pengurus berusia 52 tahun itu.

Kepulangan kali keduanya ke kelab London Barat itu menyaksikan mereka meraih gelaran liga keempat dan juga merangkul Piala Liga buat kali kelima.

Prestasi kurang memberangsangkan Chelsea musim ini dikatakan berkait rapat dengan kegagalannya mengekalkan momentum yang diraih sebelum ini pada musim ketiga kendaliannya.