Chelsea cantas Dr Eva

Chelsea cantas Dr Eva

LONDON, 13 Ogos – Chelsea menyingkirkan doktor pasukan Eva Carneiro daripada tugasan pada hari perlawanan selepas beliau bertelagah dengan pengurus Jose Mourinho, menurut media Britain kelmarin.

Mourinho mengkritik Eva selepas beliau meluru masuk ke padang untuk merawat Eden Hazard pada masa kecederaan ketika Chelsea seri 2-2 di laman sendiri menentang Swansea City Sabtu lalu, menyatakan beliau ‘tidak memahami permainan’.

Selepas menerima sokongan peminat, Eva menulis dalam laman Facebook miliknya: “Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana sokongan mereka. Sokongan anda amat dihargai.”

Akhbar Daily Telegraph dan Daily Mail menyatakan ketika Eva akan meneruskan peranannya sebagai doktor pasukan utama, beliau tidak akan menghadiri perlawanan atau sesi latihan atau memasuki hotel pasukan selepas ini.

Mourinho berasakan Eva melakukan kesilapan merawat Hazard ketika pasukannya terdesak mencari gol kemenangan menentang Swansea di Stamford Bridge.

Mourinho (dua kanan) berkata sesuatu kepada Dr. Eva Carneiro (dua kiri) ketika Victor Moses dikeluarkan semasa Chelsea menentang Fiorentina dalam aksi persahabatan di Stamford Bridge 5 Ogos lalu. – Reuters
Mourinho (dua kanan) berkata sesuatu kepada Dr. Eva Carneiro (dua kiri) ketika Victor Moses dikeluarkan semasa Chelsea menentang Fiorentina dalam aksi persahabatan di Stamford Bridge 5 Ogos lalu. – Reuters

“Saya tidak gembira dengan staf perubatan saya kerana sekalipun jika anda doktor perubatan atau setiausaha di bangku simpanan, anda perlu memahami permainan,” katanya.

“Jika anda masuk ke padang untuk membantu pemain, maka anda perlu pastikan pemain itu mengalami masalah serius. Saya pasti Eden tidak mengalami masalah serius. Dia dibentes dan amat letih.

“Jabatan perubatan menyebabkan saya hanya ada lapan pemain cergas ketika serangan balas pantas selepas satu sepakan percuma dan kami bimbang tidak mempunyai pemain yang cukup.”

Eva menyertai Chelsea pada Februari 2009 dan dinaik taraf sebagai doktor pasukan utama serta penolong pengarah perubatan oleh Andre Villas-Boas, seorang daripada pengganti Mourinho pada 2011.

Daily Telegraph dan Daily Mail menyatakan peranan Eva sudah diubah sebagai sebahagian daripada rombakan staf sokongan oleh Mourinho. – AFP