Chelsea ‘goda’ Allegri

Chelsea ‘goda’ Allegri

MILAN, 9 Feb – Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri digesa ‘pergi ke Chelsea’ dan menerima ‘tawaran menakjubkan’ yang diberikan kepadanya oleh kelab gergasi Inggeris itu.

Allegri, 48, dan bekas pengurus Juventus yang ketika ini mengendalikan skuad kebangsaan Itali, Antonio Conte antara yang dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea yang ketika ini diuruskan sementara Guus Hiddink berikutan pemecatan Jose Mourinho.

Kontrak Allegri di Turin berakhir pada 2017 dan dia berkata dirinya ‘gembira di mana saya berada’. Begitupun, bagi Giovanni Galeone yang pernah melatih Allegri bersama beberapa kelab ketika masih bermain dan dianggap mentor percaya bos kelab gergasi Itali itu akan meletakkan jawatan di Juve dan mengambil tugas di Chelsea pada musim depan.

“Jika saya adalah Allegri, saya akan berjalan ke Chelsea dan saya fikir dia akan berada di sana pada penghujung musim,” kata Galeone dalam satu temuramah bersama stesen radio, Radio Radio.

Allegri mengambil alih tugas daripada Conte pada permulaan musim lalu dan membantu Juve menjuarai gelaran Serie A keempat, kejuaraan berganda liga dan Piala pertama dalam tempoh 20 tahun serta penampilan di final Liga Juara-Juara yang kali terakhir dilakukan pada 2003.

Allegri menerima ‘tawaran menakjubkan’ daripada kelab Chelsea apabila tempoh Guus Hiddink berakhir pada musim panas ini. – Reuters
Allegri menerima ‘tawaran menakjubkan’ daripada kelab Chelsea apabila tempoh Guus Hiddink berakhir pada musim panas ini. – Reuters

Juve tewas 3-1 kepada Barcelona pada pentas final di Berlin namun di sebalik kemunduran prestasi beberapa gergasi Itali di Serie A, Allegri membantu gergasi Turin itu untuk kembali dihormati sebagai salah satu kelab elit Eropah.

Pada musim ini, Juve melakukan beberapa perubahan apabila kehilangan beberapa tonggak antaranya Andrea Pirlo (New York City FC), Carlos Tevez (Boca Juniors) dan Arturo Vidal (Bayern Munich). – AFP