Chelsea hukum Arsenal

Chelsea hukum Arsenal

LONDON, 20 Sept (AFP) – Chelsea memanfaatkan kepincangan Arsenal yang hilang dua tonggak akibat kad merah apabila menumpaskan The Gunners 2-0 semalam, sekali gus menghidupkan semula impian untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Jaringan Kurt Zouma dan Eden Hazard memastikan The Blues bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut selepas tumpas 3-1 kepada Everton dan 1-2 di tangan Crystal Palace dalam aksi terakhir liga.

Rentak permainan Arsenal mulai sumbang selepas Gabriel Paulista dan Santi Cazorla dibuang padang, memberi kekalahan liga kedua buat kelab London itu selepas tumpas 0-2 kepada West Ham dalam aksi pembukaan pada 9 Ogos lalu.

Gabriel dibuang padang pada penghujung babak pertama kerana didakwa menyepak Diego Costa dalam insiden pelik yang berpunca daripada provokasi yang dilakukan penyerang Chelsea itu.

Zouma, 20, yang mengisi tempat ketua pasukan, John Terry di bek tengah meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan pada minit ke-53 untuk gol pertamanya dalam Liga Perdana.

Kurt Zouma (kanan) menanduk masuk bola bagi gol pembukaan Arsenal pada perlawanan Chelsea menentang Arsenal di Stamford Bridge di London pada 19 September 2015. – AFP
Kurt Zouma (kanan) menanduk masuk bola bagi gol pembukaan Arsenal pada perlawanan Chelsea menentang Arsenal di Stamford Bridge di London pada 19 September 2015. – AFP

Arsenal terus ditimpa malang apabila hilang seorang lagi tonggak pada minit ke-79 selepas Cazorla menerima kad kuning kedua ekoran terjahan keras yang dilakukan terhadap bekas kapten mereka, Cesc Fabregas.

Kelebihan berdepan sembilan pemain lawan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Chelsea apabila Hazard menambah gol kedua, seminit sebelum tamat permainan selepas menyambut bola lantun pemain lawan, Calum Chambers sebelum menewaskan Petr Cech.Ini adalah kemenangan pertama Chelsea di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana musim ini. Kejayaan itu dicapai beberapa selepas mereka membelasah kelab Israel, Maccabi Tel Aviv 4-0 dalam kempen Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

Sejurus tamat saingan, pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyelar pengadil perlawanan, Mike Dean yang disifatkan sebagai ‘amat lemah’ kerana gagal melayangkan kad merah kepada Costa.

Costa dilihat melakukan dua provokasi terhadap pemain Arsenal, pertama menjatuhkan Laurent Koscielny, sebelum berbalas kata-kata kasar dengan Gabriel. Selepas Costa dan Gabriel dilayangkan kad kuning, Gabriel kemudian dibuang padang kerana menyepak pemain Sepanyol itu, tetapi Wenger percaya, Costa juga patut dikenakan tindakan yang sama.

“Saya tidak suka dengan Mike Dean malam ini. Costa patut dibuang padang dua kali. Kad merah pertama patut diberi ketika dia mengasari Koscielny di muka secara sengaja. Dia sangat agresif dalam setiap perlawanan dan dia berani bersikap sebegitu kerana dia sedar pengadil sangat lemah,” kata Wenger.