Chelsea menang tipis

Chelsea menang tipis

LONDON, 24 Ogos (AFP) – Pedro Rodriguez menghasilkan satu gol dan merancang satu lagi dalam perlawanan sulungnya ketika Chelsea menang 3-2 di West Bromwich Albion semalam dalam perlawanan yang turut menyaksikan ketua pasukan John Terry menerima kad merah.

Pedro, yang baharu dibeli daripada Barcelona awal minggu ini, menjaringkan gol dan membuka peluang kepada Diego Costa untuk meletakkan skuad Jose Mourinho mendahului 2-0.

Selepas gagal menjaringkan satu sepakan penalti pada awal permainan, James Morrison kemudian menjaringkan dua gol untuk West Brom kembali bersaing tetapi di sebalik Terry mendapat kad merah, jaringan pertama Cesar Azpilicueta dalam liga membolehkan Chelsea meraih kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Ini juga merupakan kemenangan pertama Chelsea di West Brom dalam lima percubaan dan menyaksikan juara bertahan itu menemukan rentak permainan mereka selepas seri 2-2 dengan Swansea City dan kalah 3-0 di Manchester City minggu lalu.

Morrison melepaskan peluang untuk pasukannya mendahului pada awal permainan apabila epakan penaltinya ditampan oleh Thibaut Courtois selepas Nemanja Matic menjatuhkan Callum McManaman.

Cesc fabregas cuba merampas bola dari pasukan lawan. - AFP
Cesc fabregas cuba merampas bola dari pasukan lawan. – AFP

Lima belas minit kemudian, Pedro meluru dari sebelah kanan, bertukar-tukar hantaran dengan Eden Hazard dan menyepak masuk ke penjuru kanan bawah gawang.

Sepuluh minit kemudian hantaran lintang Pedro disepak masuk oleh Costa.

Morrison mengurangkan defisit jaringan apabila Salomon Rondon menyepak bola hantaran lintang James McClean ke dalam kotak, tetapi Azpilicueta kembali meletakkan pasukan pelawat dalam kedudukan selesa pada minit ke-42 selepas Costa mendada umpanan Cesc Fabregas.

Terry kemudian diberikan kad merah sembilan minit selepas babak kedua berlangsung kerana mengasari Rondon yang meluru ke arah gawang sebelum Morrison menjaringkan gol keduanya dengan tandukan.