Chelsea mula menang tanpa Mourinho

Chelsea mula menang tanpa Mourinho

LONDON, 20 Dis (AFP) – Chelsea menempuh perlawanan pertama tanpa Jose Mourinho dengan mencatat kemenangan ke atas Sunderland 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

The Blues yang dikendali pembantu pengurus Steve Holland sebelum Guus Hiddink mula mengambil alih kerusi panas itu minggu depan, membolosi gawang gol lawan menerusi tandukan Branislav Ivanovic seawal minit ke-5.

Gol kedua juara bertahan EPL itu, dilunaskan Pedro selang lapan minit selepas itu. Ivanovic hampir meledak gol keduanya pada minit ke-15, namun tandukannya tersasar.

Empat minit selepas babak kedua bermula, Chelsea yang bermain di halaman sendiri di Stamford Bridge meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Oscar.

Pasukan pelawat menerusi Fabio Borini meraih gol pertama mereka selang tiga minit kemudian bagi merapatkan jurang kedudukan.

John Terry cuba merebut bola daripada pemain Sunderland. – Reuters
John Terry cuba merebut bola daripada pemain Sunderland. – Reuters

Sementara itu, penyokong Chelsea menggunakan perlawanan itu sebagai peluang untuk menunjukkan kemarahan selepas pemecatan Mourinho kepada pemain mereka sendiri, namun kapten John Terry berkata dia bersimpati dengan mereka.

“Penyokong memang berhak kecewa, begitu juga dengan kami,” katanya kepada Sky Sports. “Kami tidak mahu berada di mana kami berada sekarang.

“Pujian kepada semua pemain. Pemikiran kami sentiasa bersama pengurus (Mourinho), kerana kami kecewa. Malangnya ia menjadi bebanan kepadanya.”

Hiddink, 69, kembali ke Chelsea dengan harapan selaku penyelamat tugas sama seperti dilakukannya pada 2009, apabila dia mengemudi kelab itu meraih gelaran Piala FA selepas diambil pemilik Roman Abramovich.

Kain rentang menyokong Mourinho banyak kelihatan di stadium – satu daripadanya tertulis “Anda mengecewakan Jose, anda mengecewakan kami” – dan namanya dilaungkan penyokong tuan rumah sejak sepak mula.