Chelsea mula temui rentak

Chelsea mula temui rentak

SOUTHAMPTON, UNITED KINGDOM, 28 Feb (AFP) – Tandukan lewat Branislav Ivanovic mencipta kebangkitan Chelsea ketika pasukan pelawat itu menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit bagi kemenangan 2-1 di Southampton, sebentar tadi.

Cesc Fabregas menyamakan kedudukan selepas jaringan pembukaan babak pertama Shane Long, pada minit ke-75 sebelum Ivanovic melengkapkan kebangkitan pasukannya pada minit ke-89.

Walaupun pertahanan pasukan Chelsea lebih terdedah dan gagal menangani serangan daripada Southampton, tetapi mereka akhirnya berjaya menewaskan Southampton dengan jaringan 2-1.

Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah Pengurus Sementara, Guus Hiddink, dalam saingan domestik kepada 13 perlawanan sejak mengambil alih tugasan pada Disember.

Ivanovic meraikan kejayaan bersama pasukannya selepas berjaya menjaringkan gol kedua dalam perlawanan Chelsea menentang Southampton. – Reuters
Ivanovic meraikan kejayaan bersama pasukannya selepas berjaya menjaringkan gol kedua dalam perlawanan Chelsea menentang Southampton. – Reuters

Kejayaan itu juga meletakkan Chelsea di kedudukan ke-11 Liga Perdana, manakala Southampton jatuh ke kedudukan ketujuh.

Hiddink tidak lagi berahsia dengan sasaran utama Chelsea kini terarah pada Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Namun, selepas juara musim lalu itu masih berada di kedudukan bawah liga sebelum perlawanan ini, pengendali dari Belanda itu jelas bimbang untuk mengekalkan rentak diciptanya sejak mengambil alih.

Begitupun, keyakinan Chelsea bertambah dalam tempoh dua bulan terutama minggu lalu ketika mereka menang 5-1 dalam Piala FA berdepan Manchester City.