Chelsea mula tunjuk semangat juara

Chelsea mula tunjuk semangat juara

LONDON, 4 Jan (Reuters/Agensi) – Chelsea memulakan tahun baru mereka dengan tanda-tanda kebangkitan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace di laman lawan, Sellhurst Park, kelmarin.

Ia turut menjadi kemenangan pertama buat pengendali sementara, Guus Hiddink sejak mengambil alih kelab itu secara sementara daripada Jose Mourinho, 19 Disember lalu.

Ketiga-tiga gol yang dijaringkan pelawat itu diledakkan pemain tengah, Oscar pada babak pertama diikuti dua gol pada babak kedua menerusi Willian dan penyerang kontroversi, Diego Costa.

Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan pada 2016 itu, Chelsea yang tampil dengan rekod tumpul di jentera serangan terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Eden Hazard lebih awal selepas berdepan kecederaan dan digantikan dengan Pedro pada minit ke-16.

Ketiadaan pemain terbaik EPL musim lalu itu tidak merencatkan gerakan Chelsea yang membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Oscar pada minit ke-29 yang bijak memanfaatkan hantaran bijak Costa.

Diego Costa (tengah) meraikan gol ketiga buat Chelsea bersama rakan sepasukannya. - Reuters
Diego Costa (tengah) meraikan gol ketiga buat Chelsea bersama rakan sepasukannya. – Reuters

Gol kedua pelawat pula hadir pada minit ke-60 perlawanan menerusi rembatan padu Willian dengan Oscar menjadi perancang kepada jaringan itu.

Kehadiran Costa yang kembali menguatkan jentera Chelsea selepas tersisih akibat penggantungan jelas cukup bermakna apabila penyerang Sepanyol itu menyumbat gol ketiga pelawat pada minit ke-66.

Juga menerusi gerakan bijak Oscar yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Palace, McArthur, dia kemudian membuat hantaran kepada Costa yang mudah menyumbat gol terakhir perlawanan itu.

Kemenangan berjaya mengubati kecewa kekalahan yang dilakar Chelsea pada perlawanan pertama Ogos lalu dengan The Blues yang ketika itu masih dibimbing jurulatih, Jose Mourinho tewas 2-1 kepada Palace.

Kemenangan turut menyaksikan Chelsea mendaki satu anak tangga ke kedudukan 15 liga berbanding 16 sebelum ini dengan Palace kekal di tangga ketujuh. Perlawanan malam ini adalah yang ketiga buat Hiddink.