Chelsea mungkin beli Pogba dengan rekod dunia

Chelsea mungkin beli Pogba dengan rekod dunia

ROM, 3 Sept (Agensi) – Chelsea diberi amaran betapa kelab itu bakal membayar dengan harga menghampiri rekod dunia, sekiranya ingin mengambil pemain perancang, Paul Pogba daripada Juventus.

Pemain Perancis itu menjadi sasaran Jose Mourinho musim panas ini dan dia sudah menyaksikan betapa pemain berusia 22 tahun itu tidak akan dilepaskan oleh kelab Itali itu meskipun sudah ditawarkan harga perpindahan bernilai 54 juta pound.

Ketua Pegawai Eksekutif Juventus, Giuseppe Marotta ketika mengeluarkan amaran itu berkata, Pogba yang sedang dalam proses menjadi antara pemain tengah terbaik di dunia, bakal dianggarkan bernilai 73 juta pound.

Pembelian Gareth Bale oleh Real Madrid daripada Tottenham Hotspur bernilai 86 juta pound adalah rekod dunia pada ketika ini bagi pemain, dan Marotta percaya sebarang perjanjian yang menyaksikan Pogba meninggalkan Turin, nilainya harus tidak jauh berbeza dengan jumlah itu.

“Tatkala kami mahu terus mencipta kemenangan, kami memutuskan untuk terus mengekalkan pemain penting seperti Pogba, meskipun kami ada menerima tawaran untuk membelinya daripada beberapa kelab penting,” kata Marotta dalam sidang media. Pada masa depan, nilainya mungkin mencapai sehingga 100 juta pound.

Pemain Perancis berusia 22 tahun itu menyertai Juventus daripada Manchester United pada 2012 dan setakat ini menjadi tunjang kepada kejayaan kelabnya di Itali.

ARTIKEL YANG SAMA