‘Chelsea sama nasib dengan Dortmund’

‘Chelsea sama nasib dengan Dortmund’

LONDON, 2 Nov (Agensi) – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberitahu, nasib malang menimpa Chelsea pada masa ini mengingatkannya kepada situasi sama yang dialami Borussia Dortmund kerana kelab gergasi Bundesliga itu juga pernah mengalami nasib sama.

“Sudah tentu saya juga merasai tekanan yang dirasai pengurus Chelsea (Jose Mourinho) ketika ini. Dia adalah pengurus hebat dan saya yakin semua orang yang berada di sini tidak mampu menafikan bahawa dia adalah salah seorang pengurus terbaik dunia.

“Sebenarnya situasi sama turut menimpa saya ketika mengendalikan Dortmund musim lalu. Cuma perkara baik yang berlaku ketika itu ialah semua orang masih percaya kepada kemampuan saya. Saya langsung tidak berada dalam keadaan tertekan.

“Saya yakin, beliau (Mourinho) masih mampu mengubah nasib Chelsea tetapi bukan ketika menentang kami kerana misi kami datang ke Stamford Bridge adalah untuk memperoleh kemenangan,” kata Klopp. Pada aksi Liga Perdana England kelmarin, Liverpool berjaya mengembalikan senyuman para penyokong tegar mereka setelah membelasah The Blues 3-1.

Biarpun skuad yang menerima jolokan The Reds itu sudah ketinggalan sejak minit keempat menerusi tandukan gol yang disempurnakan Ramires, namun Philippe Coutinho berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.