Chelsea sambar Djilobodji

Chelsea sambar Djilobodji

PARIS, 2 Sept (AFP) – Kelab Nantes dari Ligue 1 Perancis semalam mengesahkan pertahanan antarabangsa Senegal Papy Djilobodji telah menyertai juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea dengan persetujuan empat tahun.

“FC Nantes, Chelsea dan Papy Djilobodji mencapai persetujuan perpindahan. Papy Djilobodji adalah pemain pasukan Blues untuk empat musim akan datang,” Nantes mengumumkan dalam laman sesawang mereka.

Chelsea menyambar Djilobodji selepas kegagalan dalam mendapatkan pemain antarabangsa England, John Stones dari Everton.

Harian sukan Perancis L’Equipe melaporkan bayaran bagi pemain berusia 26 tahun itu, yang masih ada baki setahun kontrak di Stade de la Beaujoire adalah lebih tiga juta euro (AS$3.4 juta)

Djilobodji, pemain utama pasukan Nantes sejak 2010 dan membantu mereka memenangi promosi ke Ligue 1 pada 2013, akan memberikan persaingan di bahagian pertahanan bersama John Terry, Gary Cahill dan Kurt Zoma.

Kedatangan Djilobodji diterima dengan kejutan olrh sebahagian penyokong, dengan laporan di England mendakwa Norwich, Bournemouth dan Sunderland semuanya menolak untuk mendapatkan pemain itu apabila ditawarkan kepada mereka pada awal jendela perpindahan.

Tetapi bos Blues, Jose Mourinho melakukan langkah mengejut kerana dia berazam untuk mengukuhkan jentera pertahanan selepas menyaksikan Chelsea bolos sembilan gol dalam empat perlawanan dalam permulaan hambar mempertahankan gelaran Liga Perdana.

Berapa banyak yang boleh dilakukan Djilobodji untuk memperbaiki nasib Chelsea masih perlu dilihat tetapi pemain tu sendiri tidak sabar-sabar untuk memulakan aksi di Stamford Bridge.

“Saya gembira bersama kelab besar seperti Chelsea dan saya mahu melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan memenangi gelaran,” Djilobodji memberitahu laman seawang Chelsea.

“Saya mahu berterima kasih kepada kelab kerana memberikan saya peluang ini.”