Chelsea sedia pertahan Piala Liga

Chelsea sedia pertahan Piala Liga

LONDON, 22 Sept (AFP) – Jose Mourinho memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak membiarkan prestasi mereka merosot tatkala pasukan itu bersiap sedia memulakan kempen mempertahankan Piala Liga bertemu Walsall minggu ini.

Sabtu lalu, Chelsea kembali bangkit dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal, ketika Manchester City tumpas 2-1 kepada West Ham di laman sendiri sekali gus memberi ruang kepada The Blues merapatkan kedudukan.

“Saya mahu pasukan ini bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata pengurus kelahiran Portugis itu selepas menewaskan Tottenham Hotspur pada final musim lalu yang menyaksikan mereka menang 2-0.

Aksi pengurus Chelsea, Jose Mourinho ketika perlawanan bola sepak EPL pasukan bimbingannya menentang Arsenal di Stamford Bridge di London pada 19 September 2015. – AFP
Aksi pengurus Chelsea, Jose Mourinho ketika perlawanan bola sepak EPL pasukan bimbingannya menentang Arsenal di Stamford Bridge di London pada 19 September 2015. – AFP

“Menentang Walsall adalah pertandingan perebutan piala. Piala yang kami menangi dan piala yang tidak akan kami lepaskan. Kami akan cuba untuk menang. Perlawanan Rabu ini pastinya sukar,” katanya.

Sementara itu, City yang dibimbing Manuel Pellegrini dan kini mendominasi takhta carta akan ke Sunderland bagi berdepan pasukan tercorot EPL pada saingan pusingan ketiga Piala Liga.

Manchester United yang menduduki kedua carta EPL, selepas menewaskan Southampton 3-2 pada Ahad, bakal menyambut kunjungan pasukan Liga Kejuaraan, Ipswich Town, manakala Liverpool pula melayan kedatangan pasukan Liga Kedua, Carlisle United.