Chelsea, Spurs didenda

Chelsea, Spurs didenda

LONDON, 17 Mei (AFP) – Chelsea dan Tottenham masing-masing didenda 375,000 pound dan 225,000 pound kerana gagal mengawal pemain mereka ketika perlawanan tegang yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stamford Bridge, awal bulan ini.

Pertembungan antara dua musuh tradisi itu bertambah tegang ketika Chelsea bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan sekali gus menamatkan harapan Tottenham memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah Tottenham, Mousa Dembele pula digantung enam perlawanan selepas mengasari penyerang Chelsea, Diego Costa.

Pengadil, Mark Clattenburg tidak mengenakan tindakan terhadap Dembele, tetapi berdasarkan rakaman televisyen menunjukkan pemain antarabangsa Belgium itu jelas mengasari Costa.

Secara keseluruhannya sebanyak 12 kad kuning dilayangkan dan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino pada satu ketika terpaksa masuk ke padang untuk meleraikan pertelagahan antara pemain Tottenham, Danny Rose dan pemain Chelsea, Willian.

Pertelagahan itu berterusan selepas wisel penamat dibunyikan apabila Rose terbabit dalam satu lagi insiden dengan kakitangan dari kedua-dua kelab serta pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink ditolak.

“Chelsea dan Tottenham Hotspur didenda 375,000 dan masing-masing 225,000 selepas kedua-dua kelab mengakui melanggar peraturan FA E20 kerana gagal mengawal pemain atau pegawai,” kata kenyataan FA England.

“Ia berdasarkan kejadian yang berlaku pada minit ke-45 dan minit ke-87 serta pada akhir perlawanan di Stamford Bridge pada hari Isnin 2 Mei 2016.”

ARTIKEL YANG SAMA