Chelsea, Swansea hanya mampu seri

Chelsea, Swansea hanya mampu seri

LONDON, 9 Ogos (AFP) – Penyandang juara, Chelsea hanya mampu berkongsi mata dengan Swansea City pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, di sini, malam tadi, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Tuan rumah selaku penyandang juara, mendahului pelawat menerusi Oscar yang mengambil sepakan percuma pada minit ke-23 buat menewaskan penjaga gawang, Lukasz Fabianski.

Namun kelebihan berkenaan dipadamkan Swansea, enam minit selepas itu, melalui Andre Ayew yang merembat kencang bola lantunan dalam kekalutan di depan gawang skuad The Blues bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Barisan bimbingan Jose Mouriho bagaimanapun hanya mengambil masa seminit untuk kembali berada di depan, apabila pemain pelawat, Federico Fernandez tertampan umpanan Willian untuk melepasi jangkauan Fabianski.

Penyerang Swansea City, Bafetimbi Gomis (kanan) berjaya memperdaya penjaga gol Chelsea, Asmir Begovic (kiri) untuk menjaringkan gol penyamaan, semalam. – AFP
Penyerang Swansea City, Bafetimbi Gomis (kanan) berjaya memperdaya penjaga gol Chelsea, Asmir Begovic (kiri) untuk menjaringkan gol penyamaan, semalam. – AFP

Keputusan kekal 2-1 sehingga wisel penamat untuk aksi separuh masa pertama. Sebaik aksi separuh masa kedua bersambung, Chelsea dilihat terus garang.

Namun tindakan kurang bijak penjaga gol skuad The Blues, Thibaut Courtois mengasari penyerang Swansea, Bafetimbi Gomis di kawasan kotak penalti pada minit ke-52 mengundang padah.

Dia dikenakan kad merah dan sekali gus terpaksa meninggalkan padang. Tempatnya kemudian diambil Asmir Begovic, namun pemain itu tidak dapat menyelamatkan sepakan penalti Gomis tiga minit selepas itu, bagi mengikat kedudukan 2-2. Keputusan kekal 2-2 sehingga wisel penamat.