Chelsea terikat tiga sama dengan Everton

Chelsea terikat tiga sama dengan Everton

LONDON, 17 Jan – Juara musim lalu, Chelsea kini berada enam mata dari zon penyingkiran sambil pengendali sementara Chelsea, Guus Hiddink, masih lagi belum tewas selepas membimbing pasukan itu apabila mencatat keputusan seri menentang Everton.

Everton mendahului 2-0 pada awal separuh masa kedua menerusi jaringan gol sendiri Terry dan Kevin Mirallas sebelum Chelsea bangkit mengikat kedudukan dalam tempoh dua minit hasil jaringan Diego Costa dan Cesc Fabregas, masing-masing pada minit 64 dan 66.

Pertahanan Everton, Ramiro Funes Mari meledak gol pada minit ke-91, namun jaringan jarak dekat John Terry mengikat kedudukan 3-3 meskipun dia dilihat sudah berada dalam keadaan ofsaid sebelum menjaringkan gol penyamaan terbabit.

“Saya rasa Terry berada pada kedudukan ofsaid. Oscar menyentuh bola dan Terry berada pada kedudukan ofsaid dalam jarak beberapa meter walaupun dia menjaringkan gol yang cantik,” kata Hiddink.

Fabregas meraikan gol kedua Chelsea bersama rakan. - Reuters
Fabregas meraikan gol kedua Chelsea bersama rakan. – Reuters

Sementara itu, Sunderland yang mendahului pada minit ke-40 terpaksa akur dengan kehebatan Tottenham Hotspurs yang meledak empat gol menerusi Eriksen dengan dua gol, Mousa Dembele dan Harry Kane, membolehkan Spurs menang 4-1.

Pemain baharu Newcastle, Jonjo Shelvey, ternyata mudah menyesuaikan diri dengan pasukan baharu itu selepas gerakannya berjaya membuka ruang untuk kedua-dua gol pasukannya yang disudahkan Ayoze Perez dan Georginio Wijnaldum membolehkan mereka menewaskan West Ham United, 2-1.

Selain itu, Bournemouth kini lima mata daripada zon bahaya selepas membenam satu lagi kelab bergelut, Norwich City dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Dan Gosling, Charlie Daniels serta Benik Afobe.

Southampton juga mudah menundukkan West Bromwich Albion dengan keputusan 3-0 selepas James Ward Prowse menjaringkan dua gol menerusi sepakan percuma dan penalti dengan satu lagi gol dijaringkan Dusan Tadic. – Agensi