Chelsea terus unggul, Arsenal lega

Chelsea terus unggul, Arsenal lega

LONDON, 28 Ogos – Chelsea ungguli Liga Perdana (EPL) Inggeris dengan mecatatkan kemenangan ketiga berturut-turut selepas membenam Burnley 3-0 ketika Arsenal meraih tiga mata pertama selepas menundukkan Watford di laman lawan.

Beraksi di laman sendiri, Stamford Bridge, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Eden Hazard seawal minit kesembilan sebelum menyumbat gol kedua menerusi Willian, empat minit sebelum babak pertama berakhir. Tampil dengan rentak permainan pantas, rentetan peluang berjaya dijelmakan Chelsea pada babak kedua dengan jaringan ketiga hanya terhasil seminit sebelum perlawanan berakhir yang diledakkan pemain gantian, Victor Moses.

Pasukanyang berada di tangga kedua liga, Manchester United berada di belakang Chelsea dengan hanya perbezaan gol selepas Marcus Rashford menjaringkan gol di separuh masa kedua dalam masa kecederaan bagi meraih kemenangan 1-0 di Hull City.

Reaksi Victor Moses selepas menjaringkan gol buat Chelsea semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Chelsea dan Burnley di Stadium Stamford Bridge, London. – AP
Reaksi Victor Moses selepas menjaringkan gol buat Chelsea semasa perlawanan Liga Perdana (PL) Inggeris antara Chelsea dan Burnley di Stadium Stamford Bridge, London. – AP

Arsenal yang gagal mencatat kemenangan daripada dua perlawanan sebelum ini akhirnya mampu menarik nafas lega selepas membenam Watford 3-1 di laman lawan.Ia adalah kemenangan pertama skuad bimbingan Arsene Wenger dalam kempen PL musim ini selepas tewas aksi pembukaan kepada Liverpool dan diikat Leicester City pada perlawanan kedua.

Santi Cazorla membuka tirai jaringan The Gunners pada minit ke-17 diikuti jaringan Alexis Sanchez pada minit ke-45 dengan perancang tengah, Mesut Ozil melengkapkan gol ketiga pelawat pada masa kecederaan. Tiada gol berjaya diledakkan Arsenal pada babak kedua sebaliknya Watford berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Roberto Pereyra pada minit ke-57. – AFP