Chelsea tetap juara – Mourinho

Chelsea tetap juara – Mourinho

LONDON, 15 Sept (AFP) – Pengurus Chelsea Jose Mourinho enggan menyalahkan pasukannya selepas juara Liga Perdana Inggeris itu mengalami kekalahan terbaharu 1-3 kepada Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Malah, Mourinho turut menegaskan, dia masih seorang juara dan Chelsea juga adalah juara sebenar.

“Saya adalah juara dan pemain saya juga juara, malah permainan kami tidak seteruk keputusan yang diraih, namun dalam setiap perlawanan pasti ada perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya tidak mahu menyalahkan pemain dan diri sendiri tetapi dalam masa sama saya juga sukar menerima keputusan ini,” kata Mourinho.

Dalam perlawanan di Goodison Park itu, hatrik Steven Naismith memberikan kekalahan ketiga Chelsea daripada lima aksi pertama musim ini.

Jose Mourinho (kanan) bercakap kepada pembantunya Steve Holland (kiri) dan Silvino Louro (dua kiri) semasa sesi latihan Blues di Stoke D’Abernon, semalam. – AFP
Jose Mourinho (kanan) bercakap kepada pembantunya Steve Holland (kiri) dan Silvino Louro (dua kiri) semasa sesi latihan Blues di Stoke D’Abernon, semalam. – AFP

Penyerang Scotland itu berjaya membolosi pertahanan Blues de­ngan mudah untuk menjaringkan tiga gol.

Naismith yang dimasukkan pada minit kesembilan tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan awal hasil tandukkan minit ke-17.

Malah, Naismith tidak terhenti di situ, sebaliknya dia terus menggandakan jaringannya pada minit ke-22 dan ke-82.

Gol tunggal Chelsea diperoleh menerusi Nemanja Matic pada minit ke-36.

Kekalahan itu menyebabkan Chelsea ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City yang menundukkan Crystal Palace 1-0.

Gol Kelechi Iheanacho pada minit terakhir memastikan City mengekalkan rekod kemenangan dalam lima perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA