Chelsea tewas lagi

Chelsea tewas lagi

LONDON, 6 Ogos – Kekurangan pilihan jentera serangan Chelsea sekali lagi terdedah semalam ketika menamatkan persediaan pra musim tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Fiorentina.

Kapten pasukan pelawat, Gonzalo Rodriguez menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-34 di Stamford Bridge dan dengan Diego Costa sekali lagi tidak hadir kerana masalah hamstring, menyebabkan pasukan Jose Mourinho berhempas pulas dalam serangan selepas melalui lima kekalahan berturut–turut.

Radamel Falcao dan Loic Remy melepaskan peluang lain untuk membuktikan diri sebagai pengganti Costa, yang meninggalkan Mourinho banyak untuk difikirkan menjelang bermulanya musim bagi mempertahankan gelaran Liga Perdana di laman sendiri menentang Swansea City Sabtu ini.

“Kami akan menghadapi bola sepak sebenar Sabtu ini dan hari ini kami tidak dapat menghadapi perlawanan ini dengan cara lain. Minit–minit getir menentang pasukan yang bagus dan beraksi untuk mendapatkan keputusan memberikan kami sesi latihan yang bagus,” kata Mourinho.

Ditanya jika Costa akan cergas bagi menghadapi Swansea, Mourinho menjawab: “Saya tidak tahu. Saya tidak memberikan risiko untuk mengatakan ya, tetapi saya juga tidak mahu mengambil risiko untuk mengatakan tidak.”

Pertahanan Fiorentina Gonzalo (bawah, dua kanan) menjaringkan gol semasa menentang Chelsea dalam aksi persahabatan di Stamford Bridge semalam. – AFP
Pertahanan Fiorentina Gonzalo (bawah, dua kanan) menjaringkan gol semasa menentang Chelsea dalam aksi persahabatan di Stamford Bridge semalam. – AFP

Ia adalah kemenangan kedua berturut–turut aksi persahabatan Fiorentina yang selesai keempat dalam Serie A musim lalu dan pasukan separuh akhir Coppa Italia dan Liga Europa selepas menang 2-1 ke atas juara Eropah Barcelona Ahad lalu.

“Ia adalah kemenangan yang bagus dan kemenangan bagi seluruh skuad,” kata jurulatih, Paulo Sousa. “Saya gembira dengan semua pemain.”

Chelsea membuat 10 pertukaran kepada pasukan yang tewas 1-0 kepada Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti hujung minggu lalu, dengan kapten pasukan John Terry sahaja yang mengekalkan kedudukannya, sementara Falcao, Asmir Begovic, Bertrand Traore dan Ola Aina membuat kemunculan pertama di laman sendiri. – AFP