Chelsea tumbang lagi, Mourinho diarah keluar padang

Chelsea tumbang lagi, Mourinho diarah keluar padang

LONDON, 25 Okt (Agensi) – Chelsea melakar kekalahan kelima dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila tewas 2-1 kepada West Ham United di laman lawan, semalam.

Mauro Zarate meletakkan West Ham di depan seawal minit ke-10 permainan sebelum Chelsea terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain tengah, Nemanja Matic diarahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.

Tindakan pengadil, Jon Moss ke atas Matic pada minit ke-44 itu menimbulkan kemarahan pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang turut diarah keluar daripada bangku simpanan pasukan bersama pembantunya, Silvino Louro.

Ketika babak kedua bermula, Mourinho dilihat berdiri di tempat duduk pengarah di Upton Park yang mencetus kontroversi tindakannya seakan menipu pegawai perlawanan.

Pemain midfield Chelsea, Cesc Fabregas (tiga dari kiri) mempertikaikan keputusan dengan pengadil berikutan saingan oleh rakan sepasukannya, Nemanja Matic (tiada dalam gambar) ke atas penyerang West Ham United, Diafra Sakho (tiada dalam gambar) ketika perlawanan EPL di Boleyn Ground di Upton Park, London pada 24 Oktober 2015. – AFP

Pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill berjaya menyamakan kedudukan buat Chelsea pada minit ke-56 namun bermain kurang seorang pemain di atas padang jelas sukar buat penyandang juara itu.

Gawang Chelsea akhirnya bocor buat kali kedua apabila pemain gantian West Ham, Andy Carroll menanduk masuk gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-79.

Kekalahan kelima yang dicatat Chelsea adalah yang terburuk dan membawa kelab itu di kedudukan ke-15 liga, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

West Ham yang dibimbing Slaven Bilic dalam pada itu meneruskan rentak cemerlang musim ini dengan mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah.