CHEP Malaysia paling canggih di dunia

CHEP Malaysia paling canggih di dunia

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) – CHEP, penyedia penyelesaian perkongsian palet dan kontena terkemuka dunia, membuka pusat servis terbaru dan paling canggih di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, CHEP berkata, tapak 11,700 meter persegi di Kawasan Perindustrian Bukit Raja di Klang, Selangor direka untuk menyokong tambahan 30 peratus peningkatan volum pembaikan palet pada masa depan.

Tom Gorman, Ketua Pegawai Eksekutif Brambles Ltd yang berpangkalan di Australia, iaitu syarikat induk CHEP berkata, pusat servis itu akan menjadi penanda aras baharu untuk kemudahan pembaikan palet moden di Asia.

Tom Gorman ketika Majlis Pelancaran Pusat Khidmat CHEP Malaysia. – Agensi
Tom Gorman ketika Majlis Pelancaran Pusat Khidmat CHEP Malaysia. – Agensi

“Kami juga akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memenuhi peningkatan permintaan daripada pelanggan di rantau ini, kebanyakan mereka nama terkenal seperti Nestlé, F&N, Coca-Cola, Mondelēz dan Unilever,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara CHEP bagi Malaysia dan Singapura, Aravind Nair berkata, syarikat itu komited untuk memberikan servis berkualiti, mengurangkan kos dan meminimumkan pembaziran pembungkusan.

Menurutnya, pusat servis baharu di Bukit Raja akan memanfaatkan CHEP Malaysia berikutan rangkaian meluas global CHEP yang termasuk lebih 850 pusat servis di seluruh dunia dan pengurusan penyumberluaran lebih 500 juta palet, tong dan kontena.