Chevening Alumni adakan ceramah belia hari ini

Chevening Alumni adakan ceramah belia hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Chevening Alumni Brunei menghoskan Siri Ceramah 1 Forum Belia Chevening Brunei (BCYF) 2016 pada 8 Oktober ini di The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Siri ceramah berkenaan bertujuan untuk menghimpunkan sehingga 100 orang belia dinamik bagi membincangkan isu-isu dan idea sekitar ‘Keusahawanan Sosial dan Inovasi’, menurut kenyataan yang dikeluarkan Chevening Alumni Brunei.

Menerusi BCYF, menurut kenyataan itu lagi, Chevening Alumni Brunei berhasrat untuk terus mempromosikan peluang-peluang penjaringan bagi belia, interaksi-interaksi di antara alumni Chevening dengan belia dan mengajar kepimpinan dalam kalangan belia.

Ceramah Sabtu ini akan mengetengahkan Alumnus Chevening 2004/05 dari Indonesia, Ahmad Fuadi yang merupakan pengasas Komunitas Menara iaitu pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberikan akses pendidikan kepada mereka yang kurang bernasib baik dengan menubuhkan empat buah sekolah di pulau-pulau Sumatra, Jawa dan Sulawesi.

Alumnus Chevening 2004/05 dari Indonesia, Ahmad Fuadi yang akan menyampaikan ceramah.
Alumnus Chevening 2004/05 dari Indonesia, Ahmad Fuadi yang akan menyampaikan ceramah.

Dalam ceramah berkenaan, Ahmad Fuadi akan berkongsi pandangan mengenai bagaimana orang-orang muda boleh mencetuskan inovasi bagi kebaikan sosial dengan memberikan amalan-amalan terbaik dari Indonesia.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif projek ini adalah untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin muda masa depan dan alumni Chevening dari Brunei dan rantau ini ke platform BCYF bagi membincangkan wawasan, cabaran dan peluang-peluang pembangunan Brunei.

Dengan menggunakan kepakaran, pengalaman dan pengaruh alumni, Chevening Alumni Brunei beraspirasi untuk mempromosikan penyertaan belia dalam bidang-bidang seperti pembangunan ekonomi, ekonomi pengetahuan, pengurangan kemiskinan, serta pembangunan budaya dan belia.

Penyertaan untuk menghadiri ceramah berkenaan adalah percuma, dan mereka yang berminat boleh mengisi borang menerusi laman sesawang http://bit.ly/BCYF16_TS1.

ARTIKEL YANG SAMA