Chevrolet Cruze 2015 tampil serba baru

Chevrolet Cruze 2015 tampil serba baru

Oleh Rafidah Jumat

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Selepas kejayaan model Chevrolet Cruze yang sedia ada, GHK Motors Sdn Bhd, hari ini, telah memperkenalkan model Cruze 2015 yang diterapkan dengan gaya rekaan serba baru, dan lebih menyerlah dalam pasaran Brunei Darussalam.

Reka bentuk model terbaru ini kebanyakannya mengikut model Chevrolet Impala dan Malibu yang terkini. Selain itu, bahagian dalam juga tampak garang dengan pilihan material fabrik berwarna hitam untuk tempat duduk, sementara itu, papan pemukanya yang juga berwarna hitam mempunyai rekaan ‘Twin Cockpit’.

Bukan itu sahaja, roda sterengnya juga dilengkapi dengan kawalan audio yang lebih mesra pengguna.

Dengan enjin EcoTec 1.6 liter ia mempunyai kuasa 107hp yang dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan serta penggunaan bahan api hanya 6.8 liter bagi setiap 100km.

Elemen penuh bergaya yang melengkapi versi 2015 ini termasuklah lampu pencahayaan siang, lampu kabus, jeriji depan yang berpenampilan agak agresif, cermin sisi dengan penunjuk isyarat, rim tayar aloi 16-inci yang dilengkapi dengan satu set tayar 205/60 R16.

Penampilan lampu siang, jeriji hadapan, cermin sisi dengan penunjuk isyarat dan lampu belakang (gambar bawah) pada Chevrolet Cruze yang baru diperkenalkan.
Penampilan lampu siang, jeriji hadapan, cermin sisi dengan penunjuk isyarat dan lampu belakang (gambar bawah) pada Chevrolet Cruze yang baru diperkenalkan.
OLYMPUS DIGITAL CAMERA
OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Ia turut menampilkan DRL LED serta reflektor lampu belakang yang direka seakan menyamai Malibu.

Seperti barisan Chevrolet yang lain, Cruze turut mementingkan aspek keselamatan di mana keluaran terbaru ini meraih lima bintang selepas diuji keselamatannya oleh EURO NCAP.

Antara ciri-ciri keselamatan yang disediakan pada Cruze 2015 termasuk beg udara untuk pemandu dan penumpang, ISOFIX untuk kerusi anak damit, dan sistem brek anti-kunci.

Menurut jurucakap Chevrolet, model ini dijangka dijual pada harga yang sangat kompetitif, sekali gus menjadikannya salah satu model mampu milik dalam kelasnya.

Keselesaan dan prestasi pemanduan bagi model ini juga merupakan salah satu yang terbaik dalam kelasnya, dan ini terbukti apabila Cruze dianugerahkan ‘The Best Mid-size Sedan 2010’ dan juga ‘World Touring Car Champion 2010-2011’.

Selain itu, Cruze juga dianggap kereta penumpang terbaik untuk keluarga, dan telah dinamakan sebagai ‘Best Car For Families’ oleh US News dan World Report.

ARTIKEL YANG SAMA