Chevron tangguh pengeluaran LNG Australia

Chevron tangguh pengeluaran LNG Australia

SYDNEY, 6 April – Projek sumber terbesar Australia akan menghentikan pengeluaran selama 60 hari disebabkan isu mekanikal, kata syarikat tenaga AS Chevron hari ini, dalam halangan terbaru yang melanda kilang bernilai AS$54 bilion itu.

Projek gas asli cair (LNG) Gorgon oleh Chevron di luar pantai barat laut Australia, salah satu yang terbesar di dunia, memulakan pengeluaran pada awal Mac dan mulai menghantar minyak beberapa minggu kemudian selepas penangguhan dan kos berlebihan.

“Chevron Australia hari ini menasihatkan pengeluaran gas asli cair (LNG) di Projek Gorgon telahpun dihentikan buat sementara waktu disebabkan isu mekanikal dengan litar bahan penyejuk propane di Train 1 di tapak kilang,” kata syarikat dalam satu kenyataan. Chevron menambah terdapat kerja-kerja membaiki yang berterusan di unit pengeluaran dan “penyambungan semula operasi dianggarkan dalam tempoh 30-60 hari.”

Projek itu mempunyai masalah dengan lokasi, kekurangan pekerja dan keadaan persekitaran yang ketat yang memakan kos berbilion dolar dan membawa kepada penangguhan selama dua tahun dalam permulaan operasinya. ASet Gorgon merupakan sebahagian daripada usaha multinasional AS untuk menempatkan dirinya sebagai pembekal LNG utama, terutamanya ke Asia Pasifik, pada tahun 2020.

Projek LNG Gorgon Chevron yang terletak di Barat Australia. - Reuters
Projek LNG Gorgon Chevron yang terletak di Barat Australia. – Reuters

Chevron memiliki 47.3 peratus daripada usaha sama dengan rakan lain Shell dan ExxonMobil, yang masing-masing memegang 25 peratus, dan firma Jepun Osaka Gas (1.25 peratus) dan Tokyo Gas (1.0 peratus). Syarikat minyak itu berkata ia masih menjangka unit pengeluaran menambah keluaran kepada kapasiti penuh dalam tempoh enam hingga lapan bulan.

Pengumuman itu keluar dua minggu selepas syarikat minyak Australia Woodside menangguh projek gas bernilai lebih AS$40 bilion di luar pantai barat negara disebabkan kemerosotan harga minyak. Australia mempunyai rancangan untuk membina beberapa kilang LNG lain dan diramalkan memintas Qatar sebagai pengeluar gas asli cair terbesar dunia pada tahun 2020. – AFP