Chicarito bersama Leverkusen

Chicarito bersama Leverkusen

LONDON, 1 Sept (AFP) – Bayer Leverkusen menandatangani penyerang Mexico, Javier Hernandez dari Manchester United dengan bayaran perpindahan 7.3 juta pound (AS$11 juta) semalam.

Hernandez, yang menghabiskan musim lalu dalam pinjaman di Real Madrid, bersetuju dengan kontrak selama tiga tahun bersama kelab Bundesliga itu tepat pada tarikh akhir jendela perpindahan Jerman.

Pemain berusia 27 tahun itu berada di bangku simpanan semasa kekalahan 2-1 United di Swansea City Ahad lalu dan belum beraksi dalam pasukan Liga Perdana lebih setahun lalu.

Dia kembali ke United ketika musim berakhir selepas menjaringkan sembilan gol bersama Real termasuk memenangi suku akhir Liga Juara–Juara menentang Atletico Madrid, tetapi pengurus pasukan Louis van Gaal membenarkannya untuk keluar secara kekal kali ini.

“Saya tahu dua liga terbesar di Eropah dalam Liga Perdana Inggeris dan La Primera di Sepanyol dan sekarang saya mahu mengalami sendiri Bundesliga,” Hernandez memberitahu laman sesawang Leverkusen.

Hernandez menyertai Leverkusen dengan bayaran 7.3 juta pound. - AFP
Hernandez menyertai Leverkusen dengan bayaran 7.3 juta pound. – AFP

“Saya banyak mendengar mengenai stadia menarik di Jerman dan pemiant–peminat unik yang mereka miliki di sana. Bundesliga adalah liga yang memerlukan minda dan itulah yang menarik saya.

“Amat luar biasa saya boleh beraksi bagi kelab seperti Leverkusen sekarang selepas saya mengetahuinya melalui Liga Juara–Juara. Bayer Leverkusen adalah peluang besar bagi saya dan saya boleh mencapai banyak kejayaan di sana.”

Leverkusen diundi bersama Barcelona, Roma dan BATE Borisov dalam Kumpulan E Liga Juara–Juara minggu lalu dan Hernandez diperlukan untuk membantu pasukan baru menghasilkan impak dalam persaingan kelab elit Eropah. Hernandez menjaringkan 59 gol dalam 156 kemunculan United selepas ditandatangani dari Chivas pada 2010 dan memenangi gelaran Liga Perdana pada 2011 dan 2013.