Chicken Cottage sasar 350 cawangan di serata dunia

Chicken Cottage sasar 350 cawangan di serata dunia

KUALA TERENGGANU, 17 Dis – Chicken Cottage (M) Sdn Bhd milik TI Global Food Holdings Ltd, anak syarikat Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), menyasarkan untuk membuka sebanyak 350 cawangan restoran itu di serata dunia dalam tempoh lima tahun.

Malah, TI Global Food sebagai pemegang jenama makanan segera Chicken Cottage, kini dalam proses menembusi pasaran India, China dan Asia Tenggara dan diikuti pembukaan cawangan baharu di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Oman, Arab Saudi dan Bahrain.

Hari ini, syarikat yang beroperasi di Wembley, London pada 1994 dan mengendalikan 102 cawangan di serata dunia, melancarkan cawangan terbaharunya di Kuala Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Kerajaan Negeri menerusi Terengganu Inc, membeli pemilikan saham restoran itu tahun lepas.

“Cawangan ke-103 di Kuala Terengganu itu menampilkan beberapa perubahan termasuk identiti korporat baharu, logo dan hiasan dalaman yang akan dijadikan rujukan bagi cawangan seterusnya.

Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (kanan) menunjukkan ayam bakar yang dijual di restoran Chicken Cottage selepas merasmikan pembukaannya kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (kanan) menunjukkan ayam bakar yang dijual di restoran Chicken Cottage selepas merasmikan pembukaannya kelmarin. – Bernama

“Selain memeriahkan lagi industri makanan segera di negara ini, Chicken Cottage menyediakan peluang pekerjaan untuk anak tempatan kerana seramai 30 hingga 50 orang pekerja diperlukan di setiap cawangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan di Ladang Tok Pelam, di sini.

Menurut Ahmad Razif, pihaknya turut menerima banyak permohonan mereka yang berminat menjadi francaisi Chicken Cottage di bandar utama termasuk Selangor-Kuala Lumpur serta Johor-Singapura.

Kerajaan Negeri juga kini berunding dengan Arab Saudi bagi membuka cawangan di Mekah dan Madinah yang menjadi tumpuan umat Islam.

Bagi tempoh enam bulan tahun ini, TI Global Food Holdings Ltd mencatat pendapatan RM6.7 juta dengan keuntungan sebelum cukai sejumlah RM1 juta.

Sementara itu Pemangku Pengarah Urusan TI Global Food Management Limited, Khalizan Mahmud berkata Chicken Cottage memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai terutama penggemar makanan segera mendapatkan menu enak, halal serta harga berpatutan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA