Chile belasah Bolivia

Chile belasah Bolivia

SANTIAGO, 21 Jun (Reuters) – Tuan rumah, Chile membelasah Bolivia, 5-0, pada temasya Copa America di sini, sebentar tadi, untuk mengungguli saingan Kumpulan A dan sekali gus bakal kekal beraksi di sini, bagi saingan suku akhir selepas ini.

Perancang, Charles Aranguiz meledak dua kali, manakala penyerang kelab Arsenal, Alexis Sanchez menjaringkan gol pertama pada temasya ini ketika membantu negaranya catat kemenangan dalam aksi berat sebelah di Stadium Nasional itu. Benteng, Gary Medel jaringkan gol keempat, manakala kapten pasukan Bolivia membocori gawang sendiri bagi gol kelima Chile.

Chile mengumpul tujuh mata, tiga mata mengatasi Bolivia dan berkelebihan empat mata di hadapan Ecuador yang berjaya menewaskan Mexico 2-1, sekali gus menyaksikan Mexico tersingkir daripada kejohanan itu selepas hanya mengumpul dua mata.

Di sebalik kekalahan itu, Bolivia bagaimanapun kekal di tempat kedua Kumpulan A dan sekali gus layak melangkah ke suku akhir bersama Chile.

Satu lagi pasukan dalam kumpulan sama, Ecuador yang terdahulu mengenepikan Mexico, 2-1, bagaimanapun terpaksa menunggu keputusan kumpulan lain sama ada turut turut layak atau sebaliknya.

Pemain Bolivia, Ronald Raldes (tengah) menjaringkan gol ke gawang sendiri semasa menentang Chile di Santiago semalam. – Reuters
Pemain Bolivia, Ronald Raldes (tengah) menjaringkan gol ke gawang sendiri semasa menentang Chile di Santiago semalam. – Reuters

Ecuador masih berpeluang untuk mara tetapi bergantung kepada keputusan perlawanan lain. Dua pasukan teratas daripada tiga kumpulan akan mara ke suku akhir manakala dua pasukan terbaik di tempat ketiga akan mengikuti mereka.

Selepas menamatkan persaingan di kedudukan teratas, Chile akan kekal di Santiago untuk aksi suku akhir manakala Bolivia akan ke Temuco.

“Selepas ini kami perlu menewaskan pasukan yang hebat, kami hanya berpeluang untuk bermain dengan cara kami seperti hari ini (semalam).

“Kami menjaringkan lima gol, pasukan memberikan tumpuan kepada serangan tetapi memerlukan keseimbangan ketika berdepan pasukan kuat seperti yang kami hadapi ketika ini,” kata pengendali Chile, Jorge Sampaoli.

Ini kali pertama dalam lima siri Copa America Bolivia berjaya melepasi persaingan peringkat kumpulan.

“Sangat menarik apabila kami berjaya mara. Sekarang masa untuk fokus kepada perlawanan berikutnya dan berusaha mencipta sejarah kerana kami percaya kami mampu melakukannya,” kata Sampaoli.

ARTIKEL YANG SAMA