Chile benam Colombia

Chile benam Colombia

CHICAGO, 23 Jun (AFP) – Chile mara ke perlawanan akhir kejohanan Copa America Centenario apabila menewaskan Colombia 2-0 sebentar tadi, dalam aksi separuh akhir yang ditunda sebelumnya berikutan ribut petir pada separuh babak kedua.

Perlawanan berkenaan yang terjejas akibat cuaca buruk itu mengambil masa kira-kira empat jam untuk selesai.

Kejayaan terbabit bermakna juara bertahan itu menempah pertembungan ulangan final tahun lalu menentang Argentina pada Ahad ini dengan Colombia terpaksa akur selepas melepaskan dua gol awal permainan.

Chile, yang mengaibkan Mexico 7-0 di suku akhir pada Sabtu lalu, terus garang apabila hanya memerlukan 11 minit untuk selesa mendahului aksi terbabit.

Tonggak tengah Bayer Leverkusen, Charles Aranguiz membuka tirai jaringan pada minit ketujuh sebelum Jose Pedro Fuenzalida menjadikan 2-0 empat minit kemudian.

pg21_160624_CopaAmericaLogo

Tetapi perlawanan itu dibayangi suasana ribut petir ketika rehat babak pertama, yang memaksa pegawai perlawanan menghentikan aksi itu selama dua jam 25 minit.

Kira-kira 10,000 penonton diarahkan berlindung di bawah kawasan berbumbung di dalam stadium, meninggalkan kawasan tempat duduk kosong tatkala hujan lebat serta ribut menjadikan keadaan tidak selamat.

Pada awalnya, ia seperti aksi itu akan ditangguhkan, dengan kedua-dua pasukan hanya akan turun beraksi semula esok untuk menamatkan baki 45 minit permainan.

Bagaimanapun, selepas keadaan cuaca kembali baik, perlawanan kembali disambung dengan kedua-dua pasukan menampilkan satu daripada aksi separuh masa terbaik sepanjang kejohanan.

Colombia membuat rayuan untuk penalti pada awal babak kedua apabila Daniel Torres jatuh dalam kotak penalti selepas dikasari Gonzalo Jara, namun ia ditolak pengadil.

Perancang tengah Real Madrid, James Rodriguez memperagakan prestasi yang baik untuk memastikan Colombia mendominasi permainan tetapi mereka gagal memecahkan kubu kental Chile.

Tugas Colombia bertambah sukar apabila perancang tengahnya Carlos Sanchez diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua gara-gara bentesan keras ke atas Aranguiz.

Fixture de la fase final de la Copa América Centenario-2016
Fixture de la fase final de la Copa América Centenario-2016

ARTIKEL YANG SAMA