Chin Xin Ying terpilih sertai Program Bahasa Jepun

Chin Xin Ying terpilih sertai Program Bahasa Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Seorang penuntut di Bahagian Pendidikan Komuniti, Jabatan Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan dan Institusi Teknologi Brunei, telah terpilih untuk menyertai Program Bahasa Jepun bagi Pelajar Luar Negara (pelajar cemerlang), di Jepun bermula hari ini hingga 2 September.

Menurut kenyataan Kedutaan Jepun di sini, Chin Xin Ying (gambar) akan menyertai para penuntut dari universiti-universiti, kolej dan institusi pendidikan pelbagai negara, yang mencatat pencapaian cemerlang dalam Ujian Kecekapan Bahasa Jepun (JLPT) di Institut Bahasa Jepun Japan Foundation Japanese Language Institute, Kansai (Osaka), dan lokasi-lokasi lain di negara itu.

Sepanjang program itu para peserta akan menghadiri kuliah-kuliah mengenai bahasa, aspek sosial dan budaya Jepun, melawat bangunan-bangunan kebudayaan dan tapak-tapak bersejarah.

Kedutaan Jepun, dalam kenyataannya menjelaskan, program ini menjemput pelajar Bahasa Jepun yang cemerlang untuk melawat Jepun, yang mana ia bertujuan untuk meningkatkan pemahaman para peserta mengenai bahasa, masyarakat dan budaya Jepun, di samping menggalakkan mereka untuk terus mempelajari bahasa dan budaya Jepun.

JLPT adalah ujian bagi bukan penutur asal Bahasa Jepun yang menilai dan mengiktiraf kecekapan Bahasa Jepun, dan ia dibuka kepada mereka yang mahu menilai keupayaan Bahasa Jepun mereka.

pg07_150820_d

Ujian bagi tahun ini akan diadakan pada 6 Disember, dengan borang pendaftaran boleh didapati dengan bayaran $5 di Bahagian Kebudayaan Kedutaan Jepun.

Mereka yang berminat mestilah mendaftar sebelum 11 September 2015 dengan menghantar borang permohonan berserta bayaran $30.

Maklumat lanjut mengenai JLPT dan soalan-soalan ringkas boleh diperoleh di laman sesawang http://www.jlpt.jp/e/index.html.

Bagi maklumat dan pertanyaan lebih lanjut bolehlah menghubungi Bahagian Budaya dan Pendidikan, Kedutaan Jepun, di talian 2229265 atau melalui faks 2229481 atau e-mel ke alamat embassy@bw.mofa.go.jp, dan URL http://www.bn.emb-japan.go.jp.

ARTIKEL YANG SAMA