China adakan latihan di LCS

China adakan latihan di LCS

BEIJING, 3 Julai – China akan mengadakan latihan tentera di Laut China Selatan (LCS), kata kerajaan hari ini, sebelum keputusan tribunal antarabangsa mengenai tuntutan laut oleh Beijing di kawasan yang kaya dengan sumber itu.

Latihan akan diadakan di perairan sekitar Pulau Paracel dari 5 hingga 11 Julai, dengan kapal lain dilarang daripada memasuki perairan pada masa itu, kata satu kenyataan ringkas daripada pentadbiran keselamatan laut.

Latihan tentera diadakan tatkala tribunal antarabangsa di The Hague bersedia untuk memutuskan satu kes yang dikemukakan oleh Filipina yang mencabar tuntutan China di jalan air strategik itu.

Manila mengemukakan tindakan guaman ke atas Beijing pada awal 2013, berkata selepas rundingan selama 17 tahun, ia telah kehabisan kesemua jalan politik dan diplomatik untuk menyelesaikan perbalahan itu.

Beijing, yang menuntut kedaulatan ke atas hampir kesemua Laut China Selatan, meskipun tuntutan bersaingan dari negara Asia Tenggara, menegaskan Mahkamah Penimbang Taraan Tetap tidak mempunyai bidang kuasa ke atas isu tersebut dan telah memulau prosiding.

Berdasarkan tuntutannya ke atas peta “sembilan sengkang” China yang wujud sejak 1940, ia telah menukar terumbu kepada pulau tiruan yang berupaya menempatkan kapal terbang tentera.

Manila berkata garis “sembilan sengkang” tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa dan Beijing tidak mempunyai tuntutan “bersejarah” ke atas lautan tersebut.

Ketegangan di Laut China Selatan telah membimbangkan negara lain, dan kebanyakan mereka terutamanya Amerika Syarikat, yang mempunyai perjanjian pertahanan utama dengan banyak sekutu di rantau, dan sebagai tanda kekuatan, beliau telah menghantar kapal perang berhampiran beberapa terumbu yang dituntut oleh China. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA