China, Arab S...

China, Arab Saudi jalin MoU bernilai AS$65 bilion

BEIJING, 17 Mac – Pemimpin Arab Saudi Raja Salman bertemu dengan perdana menteri China hari ini, sehari selepas kedua-dua negara menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pelaburan bernilai AS$65 bilion.

Perjanjian itu bertujuan merangsang usaha bersama dalam bidang termasuk tenaga, pelaburan, kewangan, kebudayaan dan ruang aeroangkasa, sebahagian daripada kempen Arab Saudi untuk mengembangkan strategi pertumbuhan yang kurang bergantung pada minyak.

Sementara itu, Beijing sedang melancarkan inisiatif perdagangan dan pelaburan di seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah bergelar “Satu Kawasan, Satu Jalan” yang melihat negara padang pasir sebagai kawasan penting serantau.

Meskipun jumlah yang tinggi yang dicatat dalam memo, nilai sebenar komitmen sedemikian biasanya jauh lebih kecil sebaik sahaja projek bermula.

Arab Saudi adalah pembekal minyak mentah terbesar China dan pengeluar minyak milik kerajaan, Aramco, adalah rakan dengan China Petroleum & Chemical Corp. Kedua-duanya mengendali sebuah kilang penapis di wilayah Fujian di samping projek China yang lain.

Raja Salman bersalam bersama Perdana Menteri China, Li Keqiang. – AP
Raja Salman bersalam bersama Perdana Menteri China, Li Keqiang. – AP

Pemeteraian perjanjian, yang membabitkan 35 projek berasingan, menyusuli rundingan semalam di antara Salman dan Presiden Xi Jinping, di mana pemimpin China berkata hasil kerjasama mereka telah pun “mengatasi jangkaan kami.”

Hubungan keselamatan di antara kedua-dua buah negara juga telah berkembang, dengan tentera udara Saudi menghantar dron penggempur China dan kedua-dua tentera mengadakan latihan cegah keganasan bersama di barat China. Kapal tentera laut China juga telah mengunjungi pelabuhan Saudi Jeddah sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan aktif di Teluk Aden.

Lawatan Salman adalah sebahagian daripada lawatan di Asia. Diiringi oleh 1,500 ahli perniagaan, putera dan kakitangan sokongan dalam berpuluh pesawat udara, beliau telah pun melawat Jepun, Indonesia, Malaysia dan Brunei, dan seterusnya akan berkunjung ke negara pulau Lautan India Maldives. – AP