China-AS perlu saling percaya

China-AS perlu saling percaya

BEIJING, 6 Jun – Presiden Xi Jinping berkata China dan Amerika Syarikat perlu saling mempercayai di antara satu sama lain ketika kedua-dua pihak berusaha meminimumkan ketegangan mengenai Laut China Selatan pada pembukaan rundingan tahunan di Beijing hari ini.

China menuntut hampir kesemua laut penting itu meskipun tuntutan bersaingan oleh beberapa negara Asia Tenggara, dan telah membina pulau tiruan yang sesuai untuk kegunaan tentera.

Washington telah bertindak balas dengan menghantar kapal perang berhampiran terumbu yang dituntut oleh China, sekali gus membangkitkan kemarahan Beijing.

“China dan AS perlu meningkatkan kepercayaan antara satu sama lain,” kata Xi pada pembukaan dialog strategik tahunan, menggesa peningkatan usaha untuk kedua-dua kuasa mengendali konflik dan mengelak ‘salah anggapan strategik’.

“Beberapa perbalahan mungkin tidak dapat diselesaikan buat sementara waktu,” kata beliau, tetapi kedua-dua pihak harus mengamalkan sikap “pragmatik dan positif” terhadap isu berkenaan. “Pasifik harus menjadi pentas untuk kerjasama, bukannya kawasan untuk persaingan,” kata beliau.

John Kerry (kiri) dan Xi Jinping bergambar bersama semasa menghadiri majlis perasmian dialog strategik AS-China peringkat tertinggi perundingan di Beijing hari ini. – AFP
John Kerry (kiri) dan Xi Jinping bergambar bersama semasa menghadiri majlis perasmian dialog strategik AS-China peringkat tertinggi perundingan di Beijing hari ini. – AFP

Bercakap untuk AS, Setiausaha Negara John Kerry meminta ‘penyelesaian diplomatik’ terhadap masalah yang dihadapi.

“Kami sedang mencari penyelesaian aman kepada perbalahan di Laut China Selatan dan menentang mana-mana negara yang menyelesaikan tuntutan menerusi tindakan satu pihak,” kata beliau, merujuk kepada perluasan China yang semakin agresif di kawasan berkenaan.

Filipina, Brunei, Malaysia dan Vietnam mempunyai tuntutan bersaingan di Laut China Selatan, yang merangkumi laluan perkapalan global yang penting dan dipercayai mempunyai simpanan minyak dan gas yang besar.