China bakal buka kilang SUV Lotus

China bakal buka kilang SUV Lotus

BEIJING, 15 Mei (Bernama) – Kilang pembuatan bagi Proton Holdings Bhd mengeluarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Lotus di Quanzhou, di tenggara wilayah Fujian, mungkin akan dibina akhir tahun ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Quanzhou, Wang Ke Si berkata pengeluar kereta itu memilih Quanzhou sebagai pangkalan pembuatannya berikutan kemudahan sokongan automotifnya yang kukuh dan bantuan kerajaan tempatan yang baik.

Beliau berkata projek itu, dengan jumlah pelaburan sebanyak 10 bilion yuan, akan termasuk pembinaan kemudahan pembuatan, ibu pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan.

Kemudahan itu akan mengeluarkan SUV Lotus yang akan dijual di seluruh China dan juga negara Asia yang lain, kata Wang kepada kumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, selatan Suzhou dan Quanzhou.

“Ia masih dalam proses. Kajian penggunaan tanah telah selesai dan kami telah menghantar dokumen berkaitan kepada kementerian, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC) serta suruhanjaya berkaitan lain. Kami akan bermula pada akhir tahun ini,” katanya.

Lawatan media yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Asia Kementerian Luar dan dibantu oleh ICC itu, bertujuan memberikan wartawan Asia Tenggara pemahaman yang lebih baik mengenai kerjasama kapasiti pengeluaran China.

Inisiatif pangkalan pengeluaran China yang baru itu berikutan perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara Proton, Lotus Group International Ltd dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd pada April tahun lepas.

Syarikat usaha sama itu akan mengeluarkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produknya di China.

Dilaporkan bahawa Proton dan Goldstar masing-masing akan memegang 50 peratus daripada modal berdaftar.

Berdasarkan pelan perniagaan awal dipersetujui bersama yang meliputi tempoh 2015 hingga 2030, syarikat menjangkakan jumlah pelaburan sebanyak 10 bilion yuan (RM5.84 bilion).

ARTIKEL YANG SAMA