China bakal masuki pasaran minyak

China bakal masuki pasaran minyak

LONDON, 4 Okt (AFP) – China berusaha untuk menonjolkan pengaruhnya yang meningkat dalam pasaran minyak global dengan kontrak niaga hadapan minyak mentah dijangka dilancarkan pada tahun ini.

Pada masa yang sama, penganalisis mengingatkan pengguna minyak kedua terbesar selepas Amerika Syaikat akan bergelut untuk bersaing dengan minyak yang lebih terkenal seperti minyak mentah Brent North Sea di London dan WTI di New York.

“China adalah pengimport minyak terbesar di dunia dan akan menjadi pengguna minyak terbesar pada masa depan, maka adalah masuk akal untuk negara itu menjadi tempat untuk kontrak niaga hadapan minyak di Asia,” beritahu Lin Boqiang, pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Tenaga di Universiti Xiamen, kepada AFP.

Penggunaan China akan melebihi Amerika Syarikat pada 2034, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.

Negara itu menghasilkan kira-kira 4.6 juta tong minyak sehari pada 2014, sementara import bersih purata negara mencecah 6.1 mbpd.

Pengaruh Asia, terutamanya China, telah meningkat di pasaran komoditi antarabangsa baru-baru ini.

“Wawasan China adalah mempunyai pasaran komoditi ditetapkan harga di tukarannya sendiri,” kata Daniel Colover, pengarah editorial di agensi laporan harga Platts.

Ia juga konsisten dengan tindakan China secara beransur-ansur untuk mengantarabangsakan mata wangnya.