China beli 21 pesawat Airbus

China beli 21 pesawat Airbus

SHANGHAI, 21 Julai – Syarikat penerbangan tambang murah China Spring Airlines berkata ia merancang membeli 21 buah pesawat Airbus A320 dengan harga 12.45 bilion yuan, memetik pertumbuhan dalam perjalanan udara antarabangsa dan domestik.

Syarikat yang disenaraikan di Shanghai itu merancang membiayai pembelian sebahagian-nya menerusi penempatan persendirian saham untuk mengumpul 4.5 bilion yuan, menurut satu kenyataan kepada bursa saham lewat semalam. Kapal terbang A320 itu mempunyai harga senarai $97 juta, menurut Airbus.

“Permintaan dalam pasaran penerbangan domestik dan antarabangsa China semakin meningkat,” kata Spring dalam kenyataan.

“Syarikat itu berhasrat menambah jumlah armadanya untuk mengembang kapasiti pengangkutan udaranya.”

Spring Airlines yang beribu pejabat di pusat komersial China Shanghai, ditubuhkan pada 2005 dan kini terbang di 90 laluan domestik dan antarabangsa, menurut laman webnya.

Saham Spring, yang telah digantung sejak 26 Jun di tengah penyingkiran di pasaran saham China, merosot 10 peratus kepada 113.48 yuan setelah meneruskan perniagaan hari ini.

Keuntungan bersih syarikat untuk suku pertama pada tahun ini melonjak 46.43 peratus kepada 254.32 juta yuan.

China, ekonomi kedua terbesar dunia, telahpun menjadi pembeli pesawat udara terbesar Asia tatkala semakin banyak kelas pertengahan menggunakan penerbangan udara. Pada tahun lalu, syarikat pesawat udara AS Boeing meramalkan China memerlukan hampir 6,000 kapal terbang baru bernilai pada $780 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang, menyumbang kepada kira-kira 16 peratus daripada permintaan dunia dan hampir separuh daripada Asia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA