China beri amaran kepada Taiwan

China beri amaran kepada Taiwan

BEIJING, 30 Mac (Reuters) – Kerajaan China mengingatkan Taiwan hari ini bahawa kelulusan undang-undang baru yang mengawal hubungan di antara kedua-dua negara mungkin menjejas teruk asas untuk rundingan, dan Beijing menentang mana-mana halangan untuk memajukan hubungan.

China mengesyaki Taiwan sejak Tsai Ing-wen dan Parti Demokratik Progresif (DPP) pimpinan beliau memenangi pilihan raya presiden dan parlimen pada Januari di sebalik sentimen anti-China.

Pada 2014, beratus pelajar menduduki parlimen Taiwan selama beberapa minggu dalam bantahan yang bergelar Gerakan Bunga Matahari, menuntut lebih ketelusan dan bimbang dengan pengaruh ekonomi dan politik China yang semakin meningkat di pulau demokratik itu.

Bantahan mengenai Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan Antara Selat 2013, yang bertujuan membuka pelaburan daripada kedua-dua pihak dalam industri seperti perbankan, penjagaan kesihatan dan pelancongan, adalah gambaran terbaru sentimen anti-China di Taiwan dalam beberapa tahun.

Ma Ying-jeou (kanan) berjabat tangan dengan Tsai Ing-wen (kiri) selepas membincangkan peralihan kuasa dalam mesyuarat di Taipei, Taiwan. - Reuters
Ma Ying-jeou (kanan) berjabat tangan dengan Tsai Ing-wen (kiri) selepas membincangkan peralihan kuasa dalam mesyuarat di Taipei, Taiwan. – Reuters

DPP sedang mencadangkan kelulusan pertama parlimen Taiwan bergelar undang-undang penyeliaan Selat Taiwan sebelum ia menimbang untuk mempersetujui perjanjian perdagangan. China bimbang undang-undang itu akan menghambat perjanjian masa depan dengan Taiwan. Ketika ditanya mengenai undang-undang berkenaan, seorang jurucakap untuk Pejabat Hal Ehwal Taiwan di China berkata asas rundingan di antara kedua-dua pihak tidak harus terjejas.

“Apa-apa yang menjejas asas rundingan dan rundingan di antara kedua-dua pihak selat, campur tangan atau menghalang perkembangan atau mendirikan sekatan mengenai pembangunan hubungan, kami akan menentang,” kata jurucakap An Fengshan pada satu taklimat.

Perjanjian perdagangan telah terbuntu dalam parlimen Taiwan, walaupun cara pulau itu bertindak dalam sesi Februari-hingga-Mei akan dilihat sebagai satu petunjuk tentang cara Tsai mengendali hubungan Taiwan-China.

China menganggap Taiwan sebuah wilayah tidak terkawal, harus diletak di bawah kawalannya secara kekerasan jika perlu. Tentera Nasionalis melarikan diri ke pulau itu pada 1949 selepas perang saudara China.