China beri amaran pesawat Filipina

China beri amaran pesawat Filipina

MANILA, 7 Mei (Reuters) – China telah mengingatkan kapal terbang tentera udara dan tentera laut Filipina sekurang-kurangnya enam kali supaya meninggalkan kawasan sekitar Laut China Selatan, beritahu komander tentera Filipina yang bertanggungjawab atas rantau kepada mesyuarat Senat hari ini.

Sementara Naib Laksamana Alexander Lopez tidak memberikan jadual masa, seorang pegawai kanan tentera udara Filipina memberitahu Reuters amaran telahpun dikeluarkan sejak tiga bulan lalu.

China mungkin ‘meninjau keadaan’ untuk melihat sama ada ia boleh menguatkuasa satu zon kekecualian udara di atas gugusan kepulauan Spratly di Laut China Selatan, kata pegawai tentera udara, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Gambar satelit terbaru menunjukkan China telah mencatat kemajuan pesat dalam menebus guna tanah di sekitar tujuh terumbu yang dihuninya di Spratlys, termasuk membina apa yang nampaknya sebuah lapangan terbang di salah sebuah pulau tiruan.

Ia telah menimbulkan kebimbangan beberapa negara di Asia Tenggara dan menerima kritikan dari Washington.

“Tatkala kami menjalankan rondaan udara rutin dan penerbangan di ruang udara antarabangsa, pesawat udara tentera udara kami dicabar di radio,” beritahu Lopez, komander Pusat Ketumbukan Filipina Barat, kepada senator, menambah kapal terbang tidak menghirau amaran tersebut.

“China berkata kapal terbang kami berada di kawasan keselamatan tentera mereka.” China menghantar pengawal pantai dan kapal tentera laut di Spratlys, tetapi jarang kapal terbang disebabkan jarak dari China.

ARTIKEL YANG SAMA