China catat permulaan ekonomi yang kabur tahun 2016

China catat permulaan ekonomi yang kabur tahun 2016

BEIJING, 1 Jan (Reuters) – China dijangka mencatat permulaan yang kabur pada tahun 2016 selepas aktiviti dalam sektor pengeluaran mengecut untuk bulan kelima berturut-turut pada Disember, mencadangkan kerajaan mungkin telah mempertingkat dasar bantuan untuk mengelak kemelesetan yang lebih teruk.

Sementara sektor perkhidmatan China mengakhiri tahun 2015 dalam nada yang kukuh, ekonomi masih dijangka bertumbuh pada kadar paling perlahannya dalam satu perempat abad meskipun pelbagai langkah pelonggaran dasar dilaksanakan, termasuk pemotongan kadar faedah sejak setahun lalu.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu menghadapi risiko berlarutan pada tahun ini kerana pemimpin telah berikrar akan melaksanakan ‘pembaharuan penawaran’ untuk mengurangkan kapasiti kilang berlebihan dan jumlah hutang yang tinggi.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pengeluaran mencecah 49.7 pada Disember, sejajar dengan jangkaan ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters dan meningkat sedikit sahaja dari November. Satu bacaan di bawah 50 mencadangkan satu pengecutan dalam aktiviti, sementara bacaan yang lebih tinggi menandakan satu pengembangan.

Namun, ahli ekonomi nampaknya berasa lega bahawa tidak adanya tanda-tanda kemerosotan lebih mendadak seperti yang dikhuatiri oleh pelabur global.

Pertambahan dalam PMI pengeluaran ‘mencadangkan momentum pertumbuhan ekonomi sudah menjadi stabil. Bagaimanapun sektor itu masih menghadapi halangan, kata Zhou Hao, ahli ekonomi di Commerzbank, Singapura.

“Demi memudahkan proses penyimpanan stok, dasar mata wang masih sesuai digunakan dan dasar fiskal akan bersifat lebih proaktif.”

Permintaan yang lemah dari dalam dan luar negara telah membebani kilang China, memburukkan lagi masalah kapasiti berlebihan dan memaksa mereka memotong harga barangan mereka, memakan keuntungan mereka dan menambah kepada tekanan deflasi dalam ekonomi.

Jumlah tempahan baru, satu proksi untuk permintaan domestik dan luar negara, meningkat kepada 50.2 pada Disember daripada 49.8 pada November, menurut tinjauan PMI.

ARTIKEL YANG SAMA