China dakwa 26 berhubung skim Ponzi

China dakwa 26 berhubung skim Ponzi

SHANGHAI, 17 Ogos – China akan mendakwa 26 orang yang dikaitkan dengan pemberi pinjaman kerana menipu dan mengumpul wang secara haram, kata media negeri lewat semalam, dalam satu kes yang dilabel skim Ponzi kerana menipu pelabur sebanyak AS$7.6 bilion.

Polis telah menyerah kes yang membabitkan pemberi pinjaman P2P Ezubao kepada pendakwa, lapor agensi berita Xinhua.

Pihak berkuasa mendakwa 11 orang – termasuk eksekutif tertinggi syarikat induk Ezubao Yucheng, pengerusi Ding Ning dan presiden Zhang Min – menipu sementara 15 orang lain dituduh memperoleh wang simpanan pelabur secara haram, kata Beijing People’s Procuratorate dalam kenyataan di laman webnya.

Dalam satu pengakuan dalam televisyen yang disiarkan pada Februari selepas tersangka ditahan, Zhang berkata Ezubao adalah ‘skim Ponzi’.

Kumpulan hak mengecam amalan sedemikian sebagai menjejaskan hak untuk mendapatkan perbicaraan adil.

Polis sebelumnya memberitahu media negeri bahawa Ezubao mereka-reka projek palsu untuk menarik pelaburan dan mengumpul wang dan bukannya memberi mereka kepada peminjam untuk mendapatkan hasil pulangan.

Kes itu, dikatakan skim Ponzi terbesar di China, telah mencetuskan bantahan daripada pelabur dan adalah antara beberapa projek pelaburan yang dicurigai yang telah terbongkar pada tahun ini.

Pada Mei, polis menahan 35 eksekutif dan pekerja Pengurusan Aset Zhongjin di Shanghai selepas ia gagal membuat bayaran sebanyak 5.2 bilion yuan kepada 25,000 pelaburnya.

Polis menahan 19 orang yang berkaitan dengan tukaran logam Fanya, yang mengurus aset berjumlah 40 bilion yuan, pada Jun di tengah rasa syak menipu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA