China draf garis pandu antipakat sektor auto

China draf garis pandu antipakat sektor auto

BEIJING, 12 Okt – Draf pertama garis panduan antipakat (antitrust) bagi sektor automobil dijangka selesai pada akhir bulan ini menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional, demikian lapor agensi berita milik negara.

Selain garis panduan dasar bagi pelanggaran monopoli, draf itu, yang akan disemak semula oleh Suruhanjaya Anti-Monopoli di bawah Majlis Negara menjelang Jun tahun depan, juga akan merangkumi pelanggaran penetapan harga oleh pengeluar kereta yang menjual produk dalam talian, kata Xinhua News Agency pada Isnin.

Menurut agensi itu, dengan peningkatan peruncit dalam talian seperti Alibaba dan JD.com, pengguna mencari tawaran yang lebih baik dalam talian dan kereta tidak terkecuali.

Ini telah mencetuskan kontroversi kerana masih tidak jelas apa yang dikelaskan sebagai adil.

Agensi berita itu berkata kebimbangan timbul akan kemungkinan laman web memudahcarakan penetapan harga, dan seterusnya menyekat keadilan pasaran. Garis panduan baharu itu akan mengkaji aktiviti penetapan harga promosi dan membantu menakrif apa yang diliputi dan tidak diliputi oleh Undang-Undang Anti-Monopoli, Su Hua, penyelidik bersekutu Akademi Sains Sosial China dan ahli pasukan penggubal draf itu dipetik sebagai berkata oleh Xinhua.

Agensi berita itu berkata penguatkuasaan undang-undang antipakat China giat menyekat penetapan harga dalam industri automobil tahun ini. – Bernama