China, EU tek...

China, EU tekan perdagangan bebas

BEIJING, 19 April – Diplomat-diplomat tertinggi dari China dan Kesatuan Eropah (EU) menjamin kerjasama lebih rapat hari ini pada ketika ketidakpastian global, menumpu pada kepentingan bersama mereka dalam keamanan dan keselamatan serta menekankan mesej perdagangan bebas dan penglibatan terbuka mereka, bertentangan dengan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat (AS) kembali mundur di bawah Presiden Donald Trump.

Kenyataan itu muncul ketika China dan EU mengadakan rundingan peringkat tinggi mereka yang pertama sejak Trump menggalas jawatannya pada Januari.

Ketua dasar luar negeri EU, Federica Mogherini pengerusi bersama Dialog Strategik EU-China ke-7 bersama Ahli Majlis Negara, Yang Jiechi, diplomat berpangkat tinggi China.

“Pada masa ini, situasi antarabangsa adalah kompleks dengan banyak perkembangan, cabaran dan masalah baru,” kata Yang memberitahu Mogherini pada permulaannya.

Federica Mogherini dan Yang Jiechi berjabat tangan ketika sidang media bersama di Diaoyutai State Guesthouse di Beijing pada 19 April. – AP
Federica Mogherini dan Yang Jiechi berjabat tangan ketika sidang media bersama di Diaoyutai State Guesthouse di Beijing pada 19 April. – AP

“Berhubung perkara itu, bagi China dan EU untuk mengukuhkan kerjasama dan menyelaraskan kedudukan bukan saja berkaitan dengan kepentingan bersama kedua-dua belah pihak, namun juga signifikan besar bagi perkembangan hubungan ekonomi dan politik antarabangsa,” tambahnya.

Mogherini berkata China dan Kesatuan Eropah memiliki ‘tanggungjawab besar’ semasa ‘waktu ketidakpastian’.

“Kami juga mengharapkan untuk memperkukuhkan kerjasama kami dalam agenda positif, apa yang EU dan China boleh lakukan bersama bagi manfaat bukan hanya rakyat kami, tetapi juga dunia,” kata Mogherini. Kerjasama ke atas isu serantau dan keselamatan selain perubahan iklim juga antara beberapa agensi dalam rundingan sehari itu, yang muncul menjelang sidang kemuncak EU-China yang dijadualkan bagi Brussels pada Jun. – AP